KUALA LUMPUR 23 Jan – Pemberian tol percuma kepada pengguna Plaza Tol Bestari Perdana di Johor adalah satu inisiatif kerajaan yang akan meringankan kos perjalanan rakyat dan mempercepatkan aliran trafik di Lebuhraya Senai–Desaru (SDE).
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tawaran tol percuma bermula hari ini sehingga Hari Raya Aidilfitri itu adalah satu pengumuman penting sempena majlis perasmian Jejambat Bestari Perdana yang berlangsung semalam.
“Pengumuman pemberian tol percuma ini jelas mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam meringankan beban rakyat, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Perasmian jejambat itu merupakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan perhubungan serta melancarkan pergerakan trafik di lebuh raya utama di Johor.
“Projek jejambat bernilai RM70 juta ini merupakan sebahagian daripada Pasir Gudang Connector (PGC) sepanjang kira-kira 5.1 kilometer yang menghubungkan laluan utama SDE terus ke Jalan Kong Kong dan Tanjung Langsat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan siapnya projek tersebut, ia dapat meningkatkan kebolehcapaian dan memendekkan masa perjalanan penduduk di Kota Masai, Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya.
Plaza Tol Bestari Perdana turut dilengkapi dua lorong RFID dan dua lorong Touch ’n Go bagi memastikan aliran trafik lebih lancar serta transaksi tanpa tunai lebih efisien.
Beliau berkata kemudahan ini bukan sahaja memudahkan perjalanan harian, tetapi turut memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi kawasan sekitar.
Tambahnya, kejayaan projek itu membuktikan kolaborasi erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menyiapkan infrastruktur yang terbengkalai demi kepentingan rakyat.
“Di majlis sama, kerajaan turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM117 juta bagi pelaksanaan langkah-langkah mengurangkan kesesakan trafik di SDE secara berperingkat.
“Peruntukan tambahan itu adalah sebahagian daripada usaha jangka sederhana dan panjang untuk memastikan keselesaan pengguna lebuh raya terjamin,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri sangat berterima kasih kepada Kementerian Kerja Raya atas sokongan berterusan buat Johor selama ini.
“Semoga kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ini akan terus diperkukuh demi menjamin kemudahan, kesejahteraan dan kepentingan Bangsa Johor secara berterusan,” katanya. - DagangNews.com








