KUALA LUMPUR 24 Sept – Infrastruktur digital bahagian belakang (backend) bagi mekanisme subsidi petrol RON95 yang baharu akan diuruskan oleh TNG Digital Sdn Bhd, satu butiran yang sebelum ini tidak diumumkan dan telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
“Seperti yang disebutkan, pangkalan data digital belakang tabir akan diuruskan oleh TNG Digital,” kata Johan sebagai menjawab soalan daripada The Edge pada sidang media mengenai program subsidi petrol Budi95.
Budi95 menyenaraikan dua aplikasi peruncit minyak — Setel oleh Petronas dan CaltexGO oleh Caltex — serta aplikasi TNG eWallet untuk tujuan pengesahan sekali sahaja, bagi mengelakkan keperluan mengimbas MyKad di terminal setiap kali mengisi minyak.
Difahamkan, sistem pusat yang menyokong pengesahan Budi95 untuk semua aplikasi peruncit minyak ditubuhkan dan diuruskan oleh TNG Digital melalui anak syarikat milik penuhnya, Nadi Tech Sdn Bhd.
TNG Digital, yang juga mengendalikan TNG eWallet, dimiliki 45.01% oleh Touch ’N Go Sdn Bhd, yang secara tidak langsung dimiliki sepenuhnya oleh CIMB Group Holdings Bhd. Pemegang saham lain TNG Digital ialah Ant International Technologies (Hong Kong) Holding Ltd (34.61%), Lazadapay Holdings Pte Ltd (11.38%), ASP Malaysia LP (5.99%) dan AIA Bhd (2.99%).

Ditanya bila pengendali e-dompet lain dan aplikasi peruncit minyak akan menyediakan mekanisme pengesahan sekali sahaja melalui eKYC bagi Budi95, Johan berkata aplikasi Shell akan menawarkan mekanisme serupa “dalam tempoh sebulan atau lebih”.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang turut hadir dalam sidang media itu, berkata TNG eWallet boleh digunakan di semua stesen minyak, manakala aplikasi peruncit minyak terhad kepada jenama masing-masing.
Di bawah Budi95, semua rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah layak membeli 300 liter RON95 pada harga RM1.99 seliter setiap bulan bermula 30 Sept ini.
Program tersebut, kata Amir Hamzah, dijangka memberi manfaat kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak.
Bagi mereka yang tidak menggunakan aplikasi-aplikasi tersebut untuk membeli petrol RON95, mereka perlu mengimbas MyKad di terminal pam — sepertimana pengesahan kad bank atau kad armada — untuk menyemak baki kuota sebelum membuat pembayaran bagi petrol tersebut. - DagangNews.com








