KUALA LUMPUR 18 Jun – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian alam sekitar menerusi pelancaran My Brighter Green Initiative (MBGI) 2026 yang berlangsung di Kubang Badak, Langkawi.
Program berkenaan merupakan inisiatif pemuliharaan alam sekitar berskala besar yang menyasarkan penanaman sebanyak 40,000 anak pokok hutan dan bakau di enam lokasi seluruh negara.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha penghijauan, malah turut menyokong pemulihan biodiversiti, meningkatkan daya tahan iklim serta memperkasa kesejahteraan komuniti setempat.
Majlis pelancaran program “My Brighter Green – For Greener Tomorrow TNB 2026” itu disempurnakan oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid bersama wakil Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dengan penyertaan kira-kira 150 peserta.
Peserta terdiri daripada warga kerja TNB, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta pihak berkepentingan lain yang terlibat secara langsung dalam program tersebut.
Menurut TNB, MBGI 2026 akan dilaksanakan di enam lokasi strategik iaitu Kubang Badak (Langkawi, Kedah), Tanjung Burung (Perak), Tanjung Tuan (Melaka), Jimah (Negeri Sembilan), Nibong Tebal (Pulau Pinang) serta Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Selangor.
Secara keseluruhan, program ini akan melibatkan kira-kira 1,000 sukarelawan dalam aktiviti penanaman, pemantauan serta penyelenggaraan pokok bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.


Di Kubang Badak, Langkawi, sebanyak 10,000 anak pokok bakau ditanam sebagai lokasi permulaan pelaksanaan MBGI 2026.
Pemilihan kawasan tersebut dibuat berdasarkan kepentingannya sebagai ekosistem bakau yang kaya dengan biodiversiti serta berfungsi sebagai benteng semula jadi yang melindungi kawasan pesisir daripada hakisan pantai dan kesan cuaca ekstrem.
Spesies yang ditanam di lokasi itu terdiri daripada Rhizophora apiculata dan Rhizophora mucronata yang memainkan peranan penting dalam menstabilkan kawasan pesisir, menyediakan habitat hidupan marin serta membantu penyerapan dan penyimpanan karbon.
Selain itu, pokok bakau ini turut menyumbang kepada usaha mitigasi perubahan iklim melalui kapasiti penyerapan karbon yang tinggi.

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak berkata MBGI 2026 mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menterjemahkan agenda kelestarian kepada tindakan yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan alam sekitar.
Beliau berkata, penanaman 40,000 pokok itu dijangka mampu menyerap sekitar 67 tan setara karbon dioksida (tCO₂e) setahun, bersamaan perjalanan kira-kira 249,100 kilometer oleh sebuah kenderaan petrol atau penggunaan elektrik hampir 13 buah rumah dalam tempoh setahun.
“Inisiatif ini turut menyokong aspirasi negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
“MBGI 2026 turut dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Malaysian Nature Society (MNS) bagi memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar secara bersepadu.
“Selain aktiviti penanaman pokok, TNB turut melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Kubang Badak yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara inisiatif tersebut termasuk pembinaan telaga air di Jeti Nelayan Kubang Badak, sumbangan kepada Masjid Kampung Ewa, penyediaan peralatan pembelajaran pintar kepada Sekolah Kebangsaan Ewa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat, serta pembinaan rumah di bawah Projek Baiti Jannati TNB untuk keluarga asnaf di Kampung Mawat.


Jumlah keseluruhan sumbangan CSR bagi program di Kubang Badak adalah melebihi RM170,000.
TNB memaklumkan MBGI adalah kesinambungan kepada program penghijauan syarikat yang telah dilaksanakan sejak tahun 2007 dengan kerjasama pelbagai NGO, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.
Bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, program ini turut merangkumi pemantauan dan penyelenggaraan pokok sehingga dua tahun selepas penanaman bagi meningkatkan kadar kelangsungan hidup pokok.
Pada tahun kewangan 2025, TNB telah membelanjakan lebih RM232.3 juta bagi pelbagai program komuniti yang merangkumi pendidikan, sukan, kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.
Secara keseluruhannya, MBGI 2026 mengukuhkan lagi peranan TNB sebagai syarikat utiliti utama negara yang bukan sahaja membekalkan tenaga, tetapi turut menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar, pembangunan komuniti serta agenda masa depan rendah karbon Malaysia. - DagangNews.com








