KUALA LUMPUR 13 April - Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang giat melaksanakan pelan hala tujunya untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2050, kata ketua pegawai kelestariannya, Leo Pui Yong.
Komitmen ini diterjemahkan antaranya melalui saluran projek yang kukuh, termasuk inisiatif solar terapung hibrid hidro berkapasiti 2.5 gigawatt serta pembangunan ladang solar berkapasiti 500 megawatt (MW).
Sehingga 2025, RE menyumbang kira-kira 26.5 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan TNB, dengan kapasiti penjanaan hijau terpasang keseluruhan sebanyak 4,303MW.
Walaupun pengembangan kapasiti penjanaan adalah penting, kesiapsiagaan grid kekal sebagai pemangkin utama.
“Di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif, Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) semasa memperuntukkan RM43 bilion untuk pelaburan grid, iaitu lebih daripada dua kali ganda berbanding kitaran sebelumnya," katanya.
Komitmen modal yang belum pernah berlaku sebelum ini mencerminkan keazaman TNB untuk membina grid yang lebih pintar bagi mengurus peningkatan penembusan tenaga boleh baharu.
Bagi memperkukuh infrastruktur ini, TNB turut melancarkan projek perintis Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi mengurangkan isu ketidakstabilan bekalan serta meningkatkan kestabilan grid secara keseluruhan.
Menurut Pui Yong, evolusi tenaga TNB juga berfungsi sebagai pemangkin serantau.
Hubungan rentas sempadan sedia ada telah memudahkan jaminan bekalan, dengan kapasiti sambungan 1,000MW ke Singapura dan 380MW ke Thailand.
Sebagai langkah besar ke arah Grid Kuasa ASEAN (APG), TNB telah mengoperasikan ENEGEM (Energy Exchange Malaysia).
Platform ini memudahkan perdagangan elektrik hijau rentas sempadan sehingga 50MW, sekali gus mengubah integrasi serantau menjadi ekosistem yang berfungsi dan tangkas.
TNB turut aktif menyumbang kepada APG, seperti yang dibuktikan melalui projek sambungan rentas sempadan termasuk Vietnam–Malaysia–Singapura, Malaysia–Indonesia dan Malaysia–Sarawak.
Penghantaran tenaga boleh baharu ke Singapura dari Laos melalui Thailand dan Malaysia tiga tahun lalu menjadi satu pencapaian penting dalam perdagangan elektrik rentas sempadan di rantau ini.
Untuk makluman, APG merupakan inisiatif serantau yang bertujuan mengintegrasikan rangkaian elektrik negara-negara Asia Tenggara bagi meningkatkan keselamatan tenaga, mengoptimumkan perkongsian sumber serta menyokong peralihan kepada tenaga mampan di seluruh rantau.
Inisiatif ini memudahkan perdagangan tenaga pelbagai hala dan mengukuhkan kesalinghubungan rentas sempadan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
"Seiring perubahan permintaan global, khususnya dengan pertumbuhan pelaburan pusat data, kelajuan pelaksanaan kini menjadi sama penting dengan kelestarian," kata Pui Yong.
Beliau menambah melalui laluan Green Lane, TNB memperkemas tempoh pembangunan infrastruktur bagi membolehkan bekalan tenaga disalurkan dalam tempoh 12 bulan.
“Keupayaan respons ini mencerminkan kerjasama rapat dengan pelanggan untuk memenuhi permintaan tenaga berskala besar yang berkembang pesat. Daripada kejelasan dasar hingga kesiapsiagaan infrastruktur, peralihan tenaga Malaysia kini bergerak tegas daripada tahap aspirasi kepada pelaksanaan,” katanya. - BERNAMA








