TNB Electron, Maybank lancar projek perintis stesen pengecasan EV di Bangi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB Electron, Maybank lancar projek perintis stesen pengecasan EV di Bangi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb – Tenaga Nasional Berhad melalui anak syarikat pengecasan kenderaan elektriknya, TNB Electron dan Maybank Berhad melancarkan projek perintis stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Aakademi Maybank, Bangi. 

 

Ia adalah kerjasama pertama antara TNB Electron dan institusi kewangan dalam menyokong agenda kelestarian negara.

 

Projek perintis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih luas dalam kewangan lestari dan peralihan tenaga, termasuk sokongan Maybank terhadap Rangka Kerja Kewangan Peralihan TNB.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata kerjasama ini memperkukuhkan peranan TNB Electron sebagai pemangkin ekosistem EV di Malaysia. 

 

“Dengan lebih 260 stesen pengecasan telah dipasang di seluruh negara, TNB berusaha meningkatkan kesiapsiagaan grid dan kebolehpercayaan sistem,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata kerjasama ini selaras dengan tonggak ROAR30 Maybank dalam ekonomi baharu yang memberi tumpuan kepada pembangunan bandar pintar serta komitmen kelestarian bank itu.

 

“Dengan menyediakan stesen pengecasan EV yang lebih mudah didapati dan digunakan, kami membantu pelanggan beralih kepada kenderaan yang lebih mesra alam serta mengatasi salah satu halangan utama dalam penggunaan EV secara meluas.

 

“Ekosistem EV di Malaysia masih di peringkat awal, namun mempunyai potensi pertumbuhan yang sangat besar. Pada tahun 2025, Maybank telah menyalurkan lebih RM1 bilion bagi pembiayaan kenderaan elektrik dan kereta hibrid yang layak,” katanya.

 

Industri EV Malaysia mencatat pertumbuhan pesat dengan pendaftaran meningkat 106 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan ini terutamanya di kawasan bandar utama seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

 

Sejumlah lebih 5,700 stesen pengecasan awam kini tersedia di seluruh negara, membolehkan pemandu mengecas kenderaan untuk perjalanan harian, hujung minggu dan balik kampung. 

 

TNB Electron turut menawarkan diskaun 25 peratus per kWh semasa cuti sekolah dan musim perayaan bagi menggalakkan penggunaan EV.

 

TNB Electron akan bertanggungjawab memasang, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan pengecasan ini, memanfaatkan kepakaran TNB dalam infrastruktur EV dan rangkaian Maybank bagi menyokong mobiliti rendah karbon secara berskala dan boleh dipercayai.

 


Berdasarkan maklumat diperoleh daripada projek perintis ini, Maybank dan TNB Electron bercadang untuk menilai peluang memasang stesen pengecasan EV di cawangan Maybank terpilih di Semenanjung Malaysia. 

 

Fokus akan diberikan kepada lokasi strategik untuk memudahkan akses dan menyokong pertumbuhan pengambilan EV di negara ini.

 

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah penting dalam pembangunan infrastruktur EV yang mampan, di samping memfokuskan komitmen sektor kewangan dan utiliti utama negara terhadap agenda rendah karbon dan transformasi mobiliti hijau di Malaysia. - DagangNews.com