KUALA LUMPUR 4 Jun – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh peranan sebagai peneraju utama peralihan tenaga negara apabila berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE) sebanyak 4.3 gigawatt (GW) iaitu lebih satu pertiga daripada jumlah kapasiti RE Malaysia pada tahun lepas.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat utiliti nasional itu dalam mempercepatkan peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih, moden dan mampan.
Beliau berkata, antara fokus utama pelaburan TNB ketika ini ialah pemodenan grid nasional, pengukuhan infrastruktur serta meningkatkan keupayaan sistem bekalan elektrik negara di bawah fasa baharu pelaburan bernilai sekitar RM43 bilion menerusi Regulatory Period 4 (RP4), dengan sokongan kerajaan serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Menurut beliau, naik taraf ini bukan sahaja melibatkan pengukuhan rangkaian grid, tetapi turut merangkumi pembangunan kemudahan sambungan elektrik bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat, khususnya daripada sektor pusat data yang berkembang pesat di Malaysia.
“Usaha tersebut selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan peningkatan penggunaan tenaga bersih serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dalam jangka panjang.
“Di peringkat serantau, TNB turut memainkan peranan penting dalam agenda ASEAN Power Grid yang bertujuan menghubungkan sistem bekalan elektrik antara negara ASEAN bagi meningkatkan keselamatan tenaga, kecekapan perdagangan elektrik dan integrasi grid serantau,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) hari ini.
Antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah projek Laos-Thailand-Malaysia-Singapura Power Integration Project (LTMS-PIP), yang menyaksikan peningkatan kapasiti perdagangan elektrik daripada 100 megawatt (MW) kepada 200MW pada tahun ini.

Selain itu, TNB turut terlibat dalam usaha memperluaskan sambungan tenaga rentas sempadan termasuk projek dengan Vietnam, projek Malaysia–Singapura yang kedua, serta projek Sarawak–Semenanjung Malaysia yang dijangka memperkukuh kestabilan bekalan tenaga negara.
Dalam segmen tenaga boleh baharu, TNB menerusi anak syarikatnya GSPARX Sdn Bhd terus memperluaskan pembangunan tenaga solar dengan kapasiti pemasangan sebanyak 224MW melalui penyelesaian solar fotovoltaik (PV) yang menyokong pertumbuhan tenaga hijau di sektor komersial dan industri.
Pada masa sama, beliau berkata TNB turut mempercepatkan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan meningkatkan infrastruktur pengecasan di seluruh negara, termasuk pemasangan sebanyak 264 stesen pengecas EV setakat ini.
Inisiatif seperti 'EV Green Lane' turut diperkenalkan bagi mempercepatkan proses sambungan bekalan elektrik ke stesen pengecas EV untuk memperkukuh pembangunan ekosistem mobiliti hijau dan mengurangkan kebimbangan pengguna terhadap jarak perjalanan.
Selain infrastruktur fizikal, TNB juga menekankan aspek pembangunan modal insan melalui Program Literasi Tenaga Malaysia yang kini telah diperluaskan sebagai agenda nasional serta dijadikan modul pembelajaran di institusi pengajian tinggi.
Menurut TNB, keseluruhan inisiatif ini mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong agenda kelestarian negara, di samping memastikan sistem bekalan tenaga kekal stabil, mampu milik dan mesra alam.
Dalam masa yang sama, TNB turut mengakui bahawa landskap tenaga global kini turut dipengaruhi oleh faktor geopolitik, termasuk perkembangan di Timur Tengah, yang boleh memberi kesan terhadap rantaian bekalan dan harga tenaga antarabangsa.
Secara keseluruhan, TNB menegaskan bahawa cabaran utama ketika ini adalah untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat sambil memastikan sistem tenaga negara kekal selamat, boleh dipercayai, mampu milik serta bergerak ke arah masa depan rendah karbon. - DagangNews.com








