TMC Life Sciences kembali catat untung bersih RM6.56 juta bagi 2QFY26 disokong inisiatif kecekapan kos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TMC Life Sciences kembali catat untung bersih RM6.56 juta bagi 2QFY26 disokong inisiatif kecekapan kos

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Feb - TMC Life Sciences Berhad kembali pulih dengan ketara apabila mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.56 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 31 Disember 2025.


Menurut kumpulan tersebut, prestasi yang memberangsangkan ini amat baik berbanding kerugian bersih sebanyak RM947,000 yang pernah dicatatkan syarikat berkenaan pada suku sama tahun sebelumnya.


Kejayaan tersebut maklumnya kepada Bursa Malaysia, hasil daripada sumbangan pelbagai kepakaran perubatan serta pelaksanaan inisiatif kecekapan kos di Thomson Hospital Kota Damansara, Selangor.


"TMC Life Scienes melaporkan peningkatan hasil sebanyak 29% kepada RM103.5 juta bagi tempoh 2QFY26, berbanding hanya RM80.4 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu," kata kumpulan berkenaan.


Di samping itu, pertumbuhan secara positif ini jelasnya, turut didorong oleh faktor pemulihan hasil hospital dan peningkatan intensiti kes yang berjaya dikendalikan sepanjang tiga bulan tersebut.


Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 31 Disember 2025, untung bersih melonjak kepada RM10.97 juta berbanding RM1.99 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. 


Hasil bagi tempoh itu meningkat 26% kepada RM204 juta. Berbanding suku sebelumnya yang berakhir pada 30 September 2025, keuntungan sebelum cukai kumpulan menyaksikan kenaikan sebanyak 42%.


"Lonjakan ini didorong terutamanya oleh kecekapan kos yang lebih baik walaupun berdepan dengan dinamika persekitaran pembayaran balik penjagaan kesihatan swasta yang mencabar," katanya.


Mengenai prospek masa depan, TMC Life Sciences kekal optimis terhadap trajektori pertumbuhannya yang disokong oleh peningkatan kapasiti dan pengembangan berterusan dalam kepakaran utama.


Kumpulan akan terus mempelbagaikan aliran pendapatan dengan menarik lebih ramai pesakit korporat dan antarabangsa, serta mengukuhkan kerjasama strategik dengan pihak penanggung insurans.


Setakat ini, lembaga pengarah kumpulan berkenaan tidak mengesyorkan sebarang pemberian dividen bagi suku kewangan yang ditinjau itu. - DagangNews.com