​​​​​​​TM berdepan kerugian RM127 juta kapasiti prabayar DNB selepas beralih kepada U Mobile - RHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​TM berdepan kerugian RM127 juta kapasiti prabayar DNB selepas beralih kepada U Mobile - RHB

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Mac - Telekom Malaysia Berhad (TM) berkemungkinan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM127 juta kapasiti prabayar yang masih belum digunakan di bawah perjanjian akses borong dengan Digital Nasional Berhad (DNB) selepas beralih kepada rangkaian 5G U Mobile.

 

Menurut nota penyelidikan RHB Investment Bank, TM mungkin terpaksa melepaskan kapasiti prabayar bernilai RM127 juta yang telah dijanjikan di bawah perjanjian dengan DNB apabila beralih kepada U Mobile.

 

RHB menambah, kapasiti prabayar ini mungkin tidak dapat digunakan apabila TM keluar daripada perjanjian sedia ada dengan DNB, pengendali rangkaian borong tunggal 5G negara.

 

U Mobile telah menerbitkan tawaran akses rujukan (RAO) pada 25 Januari, satu keperluan kawal selia yang membolehkan syarikat telekomunikasi menamatkan perjanjian akses borong dengan DNB dalam tempoh 30 hari selepas RAO dikeluarkan.

 

Minggu lalu TM memaklumkan, syarikat itu telah mematuhi sepenuhnya semua peruntukan undang-undang dan terma kontrak yang mengawal proses penamatan perjanjian tersebut. Namun disangkal oleh DNB yang menegaskan perjanjian TM kekal sah.

 

RHB menyatakan bahawa dalam senario terburuk, TM mungkin masih perlu meneruskan perjanjian sedia ada dengan DNB untuk tempoh setahun lagi, berkemungkinan sehingga tahun kewangan berakhir 2027.

 

Ini bermakna tarikh akhir bagi penyedia akses menamatkan perjanjian dengan DNB ialah pada Januari 2028, iaitu enam tahun selepas perjanjian akses borong itu dimeterai.

 

Peralihan ke U Mobile berpotensi kurangkan kos

RHB menegaskan, walaupun berdepan kemungkinan kehilangan kapasiti prabayar bernilai RM127 juta, peralihan kepada rangkaian U Mobile berpotensi menurunkan kos borong 5G bagi TM dalam jangka panjang.

 

Susunan baharu itu melibatkan model rangkaian teras berbilang pengendali 5G atau multi-operator core network (MOCN), yang membolehkan beberapa operator berkongsi infrastruktur rangkaian radio sambil mengekalkan rangkaian teras masing-masing.

 

Struktur MOCN dijangka memberikan penjimatan kos operasi langsung kepada TM, terutama selepas kos akses 5G meningkat pada FY25 akibat model bayaran tetap DNB,” tambah RHB.

 

Selain penjimatan kos, TM juga akan mendapat akses kepada seni bina 5G berdiri sendiri (standalone) yang lebih baharu, sekali gus meningkatkan prestasi dan fleksibiliti rangkaian.

 

Prospek keuntungan kekal positif

RHB mengekalkan saranan Beli terhadap TM dengan menaikkan harga sasaran berasaskan aliran tunai terdiskaun kepada RM9.30 daripada RM8.90 sebelum ini, yang mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 24% serta hasil dividen sekitar 4%.

 

Penilaian tersebut dibuat selepas sesi taklimat maya antara pengurusan TM dan lebih 30 pelabur baru-baru ini.

 

Walaupun keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 2026 dijangka terjejas oleh kos berkaitan skim pemisahan sukarela lanjutan (VSS), prestasi syarikat dijangka bertambah kukuh mulai 2027.

 

Peningkatan itu dijangka dipacu oleh penjimatan kos tenaga kerja, sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi pusat data serta pertumbuhan berterusan perniagaan teras telekomunikasi syarikat. Program VSS dianggarkan mempunyai tempoh pulangan sekitar 1.9 tahun melalui pengurangan kos kakitangan.

 

Pengembangan pusat data menyokong pertumbuhan

Perniagaan pusat data TM menunjukkan momentum kukuh seiring peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital.

 

Syarikat itu memaklumkan kira-kira 50% kapasiti tambahan di Pusat Data Iskandar Puteri telah ditempah lebih awal, sebahagian besar daripada pelanggan hiperskala.

 

 

 

 

 

Bagi Pusat Data Lembah Klang yang baru mula beroperasi, sekitar 30% hingga 40% kapasitinya juga telah ditempah.

 

Selain itu, projek pusat data kecerdasan buatan TM-Nxera dengan kapasiti awal 64 megawatt berada di landasan untuk disiapkan pada separuh kedua 2025.

 

RHB berpandangan permintaan kukuh terhadap pusat data akan terus menyokong pertumbuhan pendapatan TM dalam jangka panjang, selari dengan perkembangan pesat ekosistem infrastruktur digital di Malaysia. - DagangNews.com