KUALA LUMPUR 28 Mei - Telekom Malaysia Bhd (TM) mengagihkan kira-kira RM2 bilion nilai kepada pemegang saham dan ekonomi bagi tahun 2025, dipacu prestasi kewangan yang lebih kukuh serta pelaksanaan strategi transformasi jangka panjang PWR 2030.
Kumpulan itu berkata pengagihan berkenaan merangkumi pulangan kepada pemegang saham serta sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi negara ketika TM mempercepatkan agenda kecerdasan buatan (AI), digital dan kelestarian.
Bagi tahun 2025, TM mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 11.4% kepada RM11.9 bilion, manakala keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) berjumlah RM2 bilion dengan aliran tunai operasi sebanyak RM2.5 bilion.
Jumlah pulangan pemegang saham pula direkodkan pada 23.5%, disokong kenaikan harga saham sebanyak 21%, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju strategik kumpulan.
Daripada jumlah RM2 bilion yang diagihkan, kira-kira RM1.2 bilion disalurkan kepada pemegang saham melalui dividen, bersamaan 31 sen sesaham.
Selebihnya sebanyak RM750 juta disumbangkan melalui cukai, zakat serta inisiatif sosioekonomi yang menyokong pembangunan ekonomi digital dan negara.
TM turut mengekalkan dasar dividen yang disemak dengan menetapkan nisbah pembayaran minimum sebanyak 75% daripada keuntungan bersih.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Amar Huzaimi Md Deris berkata kumpulan kini memasuki fasa pertumbuhan baharu yang dipacu AI, inovasi digital dan agenda kelestarian.
“Untuk memperkukuh penciptaan nilai, kami mempercepatkan keupayaan AI dan inovasi digital sambil memperkukuh integrasi kelestarian dalam operasi, perniagaan dan pelaburan strategik,” katanya.
Menurut beliau, TM terus memperluaskan ekosistem AI melalui pembangunan pusat data sedia AI, tawaran GPU-as-a-Service, infrastruktur awan serta penyelesaian keselamatan siber.
Dalam aspek kelestarian, TM menjana hasil sebanyak RM135 juta daripada produk dan perkhidmatan rendah karbon pada 2025, selain berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 34% berbanding asas 2019.
Amar Huzaimi berkata kumpulan kekal komited terhadap penciptaan nilai jangka panjang seiring pelaksanaan strategi PWR 2030 yang sedang dipertingkatkan. - DagangNews.com








