Tindakan tegas termasuk hentikan hubungan diplomatik dan perdagangan mesti dikenakan terhadap Israel - PM Anwar  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tindakan tegas termasuk hentikan hubungan diplomatik dan perdagangan mesti dikenakan terhadap Israel - PM Anwar 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar. Gambar/ Facebook Anwar Ibrahim
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Sept - Malaysia menggesa tindakan dan hukuman keras termasuk menghentikan hubungan diplomatik dan perdagangan mesti dilaksanakan terhadap Israel bagi membebaskan Palestin.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kecaman dan deklarasi semata-mata tidak lagi memadai untuk menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

 

"Kecaman tidak akan menghentikan peluru berpandu. Deklarasi tidak akan membebaskan Palestin. Tindakan hukuman yang keras mesti dilaksanakan. Segala penglibatan diplomatik mesti dihentikan dan begitu juga hubungan perdagangan.

 

"Rakyat dunia semakin letih dengan kata-kata semata-mata. Mereka telah menyaksikan kita mengeluarkan kecaman demi kecaman, deklarasi demi deklarasi, sementara Israel terus bermaharajalela tanpa hukuman.

 

"Generasi masa depan akan bertanya: adakah kita berani bertindak? Kita tidak minta negara-negara bertindak melampaui kewajipan asas mereka," kata Perdana Menteri semasa menyampaikan kenyataan negara sempena Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha sekitar pukul 11 malam waktu Malaysia, pada Isnin.

 

anwar qatar 4
Gambar/ Facebook Anwar Ibrahim

 

Anwar menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan Penuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam Di Doha, Qatar 

 

Sambil menggambarkan situasi semasa di Gaza, Anwar menambah wilayah itu kini terus dihancurkan di depan mata dunia, dengan penderitaan rakyatnya semakin meruncing.

 

Tegas Perdana Menteri lagi, Israel secara terbuka menyatakan bahawa negara Palestin tidak akan pernah wujud, dan kenyataan itu disifatkan sebagai satu bentuk apartheid yang kekal.

 

"Ia menolak semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri.

 

"Di Tebing Barat, politik penjajahan dan pengusiran diteruskan tanpa henti. Kebiadaban ini kini merebak ke Lebanon, Syria, Yaman, Iraq, dan turut menyerang Iran.

 

"Corak tindakan tidak berperikemanusiaan ini jelas memperlihatkan penghinaan terhadap asas-asas tamadun dan sistem antarabangsa," ujar beliau.

 

Dalam pada itu, Anwar turut menarik perhatian dunia berhubung bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza melalui misi Flotilla.

 

anwar qatar 5
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) berbual bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Doha, Qatar. - Gambar/ Facebook Anwar Ibrahim

 

Menurut Perdana Menteri, masyarakat antarabangsa perlu bersatu untuk memastikan bantuan kemanusiaan itu sampai ke destinasi, tanpa sebarang halangan atau sekatan kekerasan.

 

"Hari ini, tatkala kita berhimpun, sebuah Flotilla sekali lagi belayar menuju Gaza — bukan membawa senjata, tetapi bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang dikepung.

 

"Ia adalah misi belas ihsan, dan kita mesti melakukan segala usaha agar ia sampai ke tujuannya.

 

"Membiarkannya disekat dengan kekerasan adalah satu pengkhianatan terhadap suara hati kita untuk mempertahankan yang lemah, melindungi yang tertindas, dan memberi makan kepada yang lapar," kata Anwar. - DagangNews.com