Tindakan MyCC umum nama syarikat dikaitkan kartel, tetapi dibiar tergantung tanpa perbicaraan jejaskan kestabilan ekonomi negara – Jalaluddin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tindakan MyCC umum nama syarikat dikaitkan kartel, tetapi dibiar tergantung tanpa perbicaraan jejaskan kestabilan ekonomi negara – Jalaluddin

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menempelak tindakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mengumumkan nama syarikat dikaitkan dengan dakwaan kartel, namun membiarkan kes tergantung tanpa perbicaraan.

 

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai “bom jangka” yang bukan sahaja merosakkan reputasi syarikat sebelum terbukti bersalah, malah menggugat keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi negara.

 

Merujuk kepada kes terkini, MyCC dilihat hanya menjalankan siasatan dan mengambil langkah penguatkuasaan pada peringkat pasca perolehan atau selepas pelaksanaan tender.

 

 

 

 

 

 

"Jika trend ini berterusan dalam jangka masa panjang, ia bukan sahaja berpotensi menjejaskan kestabilan ekonomi negara, malah menimbulkan ketidakadilan kepada para kontraktor yang terlibat, khususnya apabila siasatan dilakukan setelah mereka melaksanakan kerja-kerja di tapak.

 

"Para kontraktor telah melabur masa dan kos untuk menyiapkan projek yang diperolehi, manakala kerja-kerja di tapak yang sedang berjalan perlu dihentikan buat sementara berikutan dakwaan kartel atau tipuan bida oleh MyCC.

 

"Proses siasatan ini menyebabkan syarikat yang belum dibuktikan bersalah terus diketepikan secara automatik daripada proses tender, walaupun masih memenuhi kelayakan teknikal dan kewangan," katanya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat pada Selasa.

 

 

myCC

 

 

Jalaluddin berkata, tender di jabatan kerajaan juga tergendala kerana disiasat oleh MyCC untuk mengesan kewujudan kartel, sekali gus melambatkan proses syor penganugerahan dan menjejaskan kos, masa serta kualiti pembangunan negara.

 

Lebih membimbangkan, kebanyakan tender itu berkait rapat dengan kepentingan awam dan tindakan MyCC ini melengahkan apa yang seharusnya dinikmati oleh rakyat.

 

Menurut beliau, corak operasi MyCC yang memfokuskan siasatan selepas pelaksanaan tender atau perolehan selesai dijalankan menimbulkan tanda tanya terhadap keberkesanan pemantauan awal dan keupayaan mencegah amalan tidak sihat seperti penipuan bida atau pembentukan kartel.

 

“Persoalannya, adakah kuasa yang diberikan kepada MyCC terlalu terbatas sehingga tidak mampu bertindak sewaktu proses perolehan sedang berjalan, atau ini strategi ‘tunggu dan lihat’ yang disengajakan?” katanya.

 

 

cidb

 

 

Bekerjasama dengan CIDB

Bagi mengatasi kelemahan ini, Jalaluddin mencadangkan MyCC melaksanakan pemantauan dan pengesanan unsur kartel di peringkat awal proses perolehan, termasuk bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

 

Kerjasama itu katanya, boleh melibatkan pendedahan awal kepada kontraktor mengenai garis panduan “do’s & don’ts”, audit projek berprofil tinggi serta penapisan pemegang lesen, sebagaimana peranan yang diperuntukkan di bawah Akta CIDB 1994 (Akta 520).

 

Sehingga tahun 2023, CIDB merekodkan sejumlah 131,570 kontraktor berdaftar dari Gred 1 hingga Gred 7. Dengan sumbangan sektor pembinaan yang konsisten kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 3.9% hingga 4.0% sepanjang 2024, beliau menegaskan kestabilan ini tidak wajar digugat oleh kelemahan penguatkuasaan.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), sektor pembinaan mencatat lonjakan 16.6% pada suku pertama 2025, dengan subsektor kejuruteraan awam terus merekodkan pertumbuhan positif.

 

 

 

 

 

“Jika benar MyCC mahu bertindak dengan telus, sediakan garis panduan yang jelas, bukannya sekadar seperti melepaskan batuk di tangga,” tegas Jalaluddin.

 

Beliau menggesa agar hala tuju industri pembinaan diperkukuh melalui kawalan awal di peringkat atasan supaya pasaran Malaysia berfungsi secara adil, kompetitif dan memberi manfaat kepada pengguna serta ekonomi negara. - DagangNews.com