KUALA LUMPUR 16 Jun - Tiga usahawan berpotensi dan berinovasi telah dinobatkan sebagai pemenang sulung PUNB x HRD Corp Biz Challenge 2025.
Inisiatif strategik antara Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) ini, bertujuan memupuk idea dan inovasi bagi peningkatan perniagaan, khususnya dalam kalangan usahawan bumiputera.
Pengumuman dan Penyampaian Hadiah dibuat kepada pemenang-pemenang ketika Majlis Perasmian Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) di Stadium Bukit Jalil, di sini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.
Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong; Pengerusi PUNB Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.

PUNB x HRD Corp Biz Challenge 2025 adalah program komprehensif mensasarkan usahawan dengan idea perniagaan berpotensi tinggi yang memerlukan bimbingan intensif dan jaringan.
Elemen utama program ini termasuk bengkel penyediaan rancangan perniagaan dan pemenang berpeluang untuk mengikuti program mentor bersama pemain industri terpilih.
Sebanyak 51 permohonan diterima dan disaring melalui proses pemilihan yang menyeluruh untuk menghadiri bengkel penyediaan rancangan perniagaan dan seterusnya, 12 rancangan perniagaan menarik telah terpilih untuk dibentangkan dalam sesi ‘pitching’.
Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PUNB x HRD Corp Biz Challenge 2025 sangat penting sebagai komitmen berterusan PUNB terhadap pembangunan modal insan dan keusahawanan di Malaysia, menonjolkan potensi luar biasa usahawan yang menjadi pemacu ekonomi negara.

- Juara PUNB x Biz Challenge 2025 adalah Muhammad Salehan Alhafiz Mat Wajar, 30, dari syarikat Sahaf Paradigm Enterprise, penyedia pakaian tempahan sut dan siap pakai yang terkenal dengan jenama Suit Millenia Collection.

- Tempat Kedua dimenangi oleh Nur Shawani Che Mansur, 35 dari Wismymadani Resources, pengusaha agro-pelancongan yang terkenal dengan jenama Madani Agrofarm.

- Tempat Ketiga dimenangi oleh Shajaratul Dur Binti Ismail, 46 dari SHJ Premium Sdn Bhd, pengusaha hadiah premium yang terkenal dengan jenama Shajaratul.
Ketiga-tiga pemenang ini akan dibimbing melalui program mentor yang difasilitasikan oleh pemain utama industri yang terpilih bagi memastikan perjalanan kejayaan mereka berterusan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin menggariskan komitmen berpanjangan PUNB untuk membangunkan usahawan Bumiputera sejak penubuhannya pada tahun 1991.
“Objektif PUNB adalah untuk memperkasa penyertaan Bumiputera dalam bidang keusahawanan melalui pendekatan menyeluruh – merangkumi pembiayaan, pembangunan kapasiti dan rangkaian sokongan. Sehingga kini, lebih 15,000 usahawan telah menerima manfaat daripada ekosistem sokongan bersepadu kami,” katanya.
“Kerjasama bersama HRD Corp ini mencerminkan komitmen kami dalam usaha mempertingkat kemahiran dan kebolehan usahawan – khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan. Kami mahu memastikan usahawan tempatan sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” tambah beliau.
PUNB x HRD Corp Biz Challenge ini merupakan langkah strategik ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang mampan dan berdaya saing serta membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif kolaboratif untuk memperkukuh landskap keusahawanan negara. - DagangNews.com








