Tiada laporan salah guna MyKad untuk tebus bantuan kewangan SARA – Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada laporan salah guna MyKad untuk tebus bantuan kewangan SARA – Fahmi

NIBONG TEBAL 15 Sept – Setakat ini tiada sebarang laporan diterima berhubung penyalahgunaan MyKad bagi tujuan penebusan bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

 

“Ya, setakat ini tidak (ada laporan). Pihak Kementerian Kewangan juga belum memaklumkan sebarang insiden seumpama itu.

 

"Sebab itu kerajaan melihat MyKad sebagai mekanisme terbaik untuk memastikan bantuan, terutama tunai dan pengesahan identiti warganegara, dilakukan dengan teratur,” katanya.

 

Fahmi berkata, langkah menggunakan MyKad juga menjadi asas kepada pelaksanaan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter. Maklumat lanjut mengenai perkara tersebut akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Aktifkan Kesukarelawanan Teras Inspirasi (BAKTI) Komuniti MADANI di Dataran Kuala Haji Ibrahim di sini hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan.

 

Menurut Fahmi, penggunaan MyKad bagi bantuan dan subsidi adalah sangat efisien kerana ia hanya dimiliki oleh rakyat Malaysia.

 

“Hanya rakyat Malaysia berhak memegang MyKad. Jadi, sebarang bantuan melalui MyKad akan sampai terus kepada penerima tanpa berlaku penyelewengan atau ketirisan,” jelasnya.

 

Pada program sama, Fahmi turut menyempurnakan upacara peletakan batu asas di Laman Komuniti MADANI, yang dibangunkan melalui gotong-royong masyarakat setempat. Beliau juga meluangkan masa bersama lebih 200 ahli komuniti MADANI daerah Seberang Perai Selatan.

 

Program anjuran JAPEN itu merupakan yang pertama diadakan di Pulau Pinang dengan matlamat memperkukuh semangat kesukarelawanan, kebersamaan dan perpaduan komuniti.

 

Pelbagai aktiviti diadakan, termasuk pertandingan sukan rakyat, pertandingan mewarna, serta perkhidmatan komuniti seperti servis penukaran minyak hitam motosikal dan gunting rambut percuma. Turut memeriahkan program ialah Jualan Agro MADANI dan pameran produk usahawan tempatan. - BERNAMA