KUALA LUMPUR 4 Mac — Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) kecewa dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) terkini bagi tahun fiskal 2023 yang mendedahkan puluhan anak syarikat kerajaan mencatatkan kerugian besar.
Menurut Presidennya, Dr Muhammad Mohan dalam satu kenyataan, perkembangan tersebut turut menunjukkan kekurangan kawalan dalaman dan tahap pematuhan yang lemah kepada dasar di beberapa agensi dan anak syarikat persekutuan.
“Agensi ini dilaporkan tidak mematuhi piawaian perakaunan apabila pelaporan kewangan dibuat, terutama mengenai geran kerajaan yang berjumlah RM33.6 bilion, dengan prosedur untuk isu kelemahan itu perlu dikaji semula.
"Satu lagi yang jelas melibatkan SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan apabila ada percanggahan dalam baki Akaun Penerimaan," katanya.
Justeru TI-M ujarnya, menyifatkan situasi percanggahan tersebut sebenarnya menggambarkan amalan tadbir urus kewangan yang cukup buruk dalam badan dan organisasi masing-masing sebelum didedahkan menerusi LKAN sendiri.
Muhammad juga mempersoalkan akauntabiliti bagi kesilapan ini dan menekankan bahawa pihak kerajaan mesti mengambil pendirian tegas untuk meminta pemimpin yang terlibat perlu bertanggungjawab terhadap percanggahan dana awam. - DagangNews.com








