Theta Nylex cadang bina LRT bernilai RM8.75 bilion menghubungkan Utara-Selatan Iskandar Puteri  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Theta Nylex cadang bina LRT bernilai RM8.75 bilion menghubungkan Utara-Selatan Iskandar Puteri 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb - Konsortium Theta Nylex mencadang untuk membangunkan sistem transit aliran ringan (LRT) berkapasiti sederhana bagi laluan Utara dan Selatan Iskandar Puteri, Johor. 

 

Projek LRT itu akan dibina dan dikendalikan oleh konsortium tersebut sebelum memindahkan pengendalian projek kepada kerajaan, katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Konsortium itu berkata, projek yang menelan kos RM8.75 bilion tersebut akan dibina dalam beberapa fasa.

 

"Fasa 1 akan melibatkan pembinaan laluan LRT bertingkat sejauh 10km yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar ke Taman Tasek.

 

"Laluan tersebut dijangka siap pada awal 2027," katanya. 

 

Projek itu akan dibiayai melalui model Perkongsian Awam-Swasta (PPP), dengan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) turut sekali menyokong pembiayaan.

 

Cadangan ini dibuat apabila Putrajaya mempertimbangkan sistem LRT walaupun sebelum ini bersetuju dengan rancangan Johor membina sistem transit pantas (ART) autonomi bagi menyambung dengan Pautan Sistem Transit Rapid Johor Baru-Singapura (RTS).

 

Jika projek LRT diteruskan, ia akan menjadi sistem ketiga Malaysia selepas rangkaian Lembah Klang dan Pulau Pinang.

 

Pada Januari 2025, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan tender projek LRT Johor Bahru masih belum dibuka.

 

Sebelum ini, EPE Power Corp Bhd adalah antara pembida berpotensi mengendalikan projek itu.

 

Satu lagi konsortium terdiri daripada LBS Bina Group Bhd, Nylex (M) Bhd (anak syarikat Ancom Nylex Bhd), Theta Edge Bhd, Sinar Bina Infra Sdn Bhd dan BTS Group Holdings PCL juga bersaing menjadi tender projek tersebut. 

 

Konsortium itu pada mulanya mencadangkan laluan LRT sepanjang 11.3km menghubungkan stesen Bukit Chagar, di mana ia akan menyambung dengan Pautan RTS ke Taman Tasek.

 

Sementara itu, sebuah lagi konsortium yang diketuai oleh YTL Power International Bhd, SIPP Rail Sdn Bhd, Mobilus Sdn Bhd dan Lion Pacific sebelum ini dikaitkan dengan bidaan itu, pada mulanya difahamkan sedang mendesak untuk membina sistem ART. - DagangNews.com