Dalam syarikat usaha sama itu, Theta akan memegang 51 peratus kepentingan manakala baki 49 peratus dimiliki oleh CSE Telematics.
Theta Edge berkata, usaha sama tersebut akan membangunkan perisian dan platform digital yang mampu mengesan kemalangan kenderaan.
“Sistem ini secara automatik akan memaklumkan kepada perkhidmatan kecemasan dengan maklumat penting termasuk lokasi, tahap kemalangan dan status penumpang.
“Syarikat usaha sama itu juga akan memiliki hak harta intelek yang dibangunkan dalam kerjasama tersebut dan membayar royalti sebanyak 10 peratus daripada hasil kasar kepada CSE Telematics bagi penggunaan teknologi asas eCall,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Theta berkata kerjasama itu membolehkan kumpulan memanfaatkan kepakaran CSE dalam bidang telematik dan keselamatan kenderaan bagi meneroka penyelesaian mobiliti pintar di pasaran.
Lembaga pengarah syarikat usaha sama itu akan terdiri daripada tiga pengarah iaitu dua dari pihak Theta dan satu dari CSE dan akan mendapatkan pembiayaan luar bagi menyokong pelaksanaan projek.
Penubuhan syarikat itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 60 hari akan datang, tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan.
Theta menjangkakan usaha sama ini tidak akan memberi kesan ketara kepada prestasinya untuk tahun kewangan 2025 namun dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan pada masa hadapan. - DagangNews.com








