KUALA LUMPUR 4 Julai – Theta Edge Bhd merancang untuk mengumpul sehingga RM19.58 juta melalui penempatan persendirian yang melibatkan 23.59 juta saham baharu, bersamaan 20 peratus daripada modal saham diperbesarkan syarikat.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat teknologi telekomunikasi (ICT) itu berkata, dana tersebut bertujuan membiayai operasi projek sedia ada, menyokong pelaburan masa depan serta memenuhi keperluan modal kerja am kumpulan.
Sehingga 31 Disember 2024, Theta Edge mencatatkan baki tunai sebanyak RM30.85 juta, namun RM15.42 juta daripada jumlah itu telah dicagarkan kepada institusi kewangan, menjadikan bakinya hanya RM15.43 juta yang boleh diakses.
Disebabkan kekangan tersebut, kumpulan menyasarkan pembiayaan tambahan untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Saham baharu akan ditawarkan kepada pelabur pihak ketiga bebas yang akan dikenal pasti kemudian.
Harga akhir masih belum ditetapkan, namun berdasarkan harga ilustrasi 83 sen sesaham (diskaun 9.14 peratus daripada purata harga pasaran lima hari sebanyak 91.35 sen), penempatan tersebut berpotensi meraih kutipan kasar sebanyak RM19.58 juta.
Penempatan saham itu dijangka selesai pada suku keempat 2025.
Daripada hasil yang akan diperoleh itu, kumpulan merancang untuk memperuntukkan RM8 juta bagi menampung kos operasi projek sedia ada antaranya RM1.2 juta untuk projek Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan RM2 juta bagi inisiatif Bandar Pintar Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Selain itu, RM1.5 juta adalah untuk projek berasaskan awan (cloud-based) dan RM3.3 juta bagi projek Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) manakala RM7 juta akan disimpan sebagai pelaburan masa depan dan pengembangan perniagaan khususnya bagi projek baharu yang diperoleh melalui tender.
Ketika ini, Theta Edge sedang menanti keputusan tender bernilai RM266 juta daripada pelanggan kerajaan dan korporat yang dijangka bermula suku ketiga tahun ini.
Selain itu, sebanyak RM4.09 juta akan digunakan bagi keperluan modal kerja am termasuk pembayaran kepada pembekal perkhidmatan IT dan telekomunikasi, gaji kakitangan serta perbelanjaan pentadbiran.
Sejumlah RM490,000 pula diperuntukkan bagi menampung kos berkaitan penempatan persendirian tersebut.
Theta Edge menjelaskan, langkah itu membolehkan kumpulan mengumpul dana tanpa menanggung kos faedah seperti pinjaman konvensional, seterusnya mengelakkan pertambahan beban hutang.
Bagaimanapun, penempatan ini dijangka mencairkan pegangan saham pemegang saham utama syarikat. - DagangNews.com








