KUALA LUMPUR 3 April - TH Plantations Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM111.06 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat berbanding RM97.32 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut kumpulan perladangan itu, kenaikan prestasi ini didorong terutamanya oleh harga purata yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM), di samping isirung sawit (PK) dan tandan buah segar (TBS).
Selain itu jelasnya, prestasi positif tersebut disokong oleh pelaksanaan pemulihan hasil tanaman lebih baik di Sabah dan Sarawak serta tahap ketersediaan tenaga kerja yang semakin bertambah baik.
"Pendapatan TH Plantations bagi FY25 meningkat mencecah sebanyak RM961.24 juta berbanding kira-kira RM901.67 juta pada FY24," kata kumpulan berkenaan dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula mencatatkan pertumbuhan 11.57% kepada RM178.99 juta, manakala Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen sebanyak 3 sen sesaham, menyamai kadar agihan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ts Borhan Bachi menyatakan pencapaian kali ini mencerminkan pelaksanaan strategi berdisiplin di bawah pelan perniagaan strategik lima tahun, AL-Falah 22/22.
Beliau menjelaskan keuntungan ini berjaya dicapai meskipun syarikat berdepan cabaran peningkatan kos operasi akibat pelarasan gaji minimum dan kenaikan caruman mandatori untuk pekerja asing.
"Bagi tempoh tinjauan tersebut, TH Plantations merekodkan purata harga MSM pada RM4,278 setiap tan, dan dari segi operasi, syarikat menghasilkan sebanyak 809,391 tan metrik TBS," jelas beliau.
Tambahnya, kadar perahan minyak (OER) secara purata mencecah 19.4%, namun melangkah ke hadapan, ia kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan pasaran global termasuk isu perubahan harga komoditi.
Syarikat itu juga komited untuk terus memperkukuh asas operasi melalui inisiatif mekanisasi, automasi, serta pengurusan kos berhemah bagi mengekalkan daya tahan perniagaa. - DagangNews.com








