Teroka: Galeri Digital Imersif - Menjejak Warisan Persuratan Malaysia dan Aspirasi Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teroka: Galeri Digital Imersif - Menjejak Warisan Persuratan Malaysia dan Aspirasi Global

Oleh NINOT AZIZ

Manuskrip adalah suara sebenar dari zaman silam yang mampu mengajar kita tentang masyarakat di mana manuskrip ini dihasilkan.

 

Khususnya di negara-negara seperti Indonesia dan Malaysia di mana sehingga hari ini, sejarah terlalu bergantung kepada sumber asing.


Manuskrip membolehkan kita mendengar suara mereka yang berasal dari sini.

 

Sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini dari 23 Mei hingga 1 Jun, terokai tujuh petala langit tujuh petala bumi warisan persuratan negara di Galeri TEROKA, anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.

 

 

hikayat

 

 

Pelawat berpeluang menyelusuri hampir 2,000 tahun tamadun serantau dari Salalatus Salatin dan Negarakertagama yang diiktiraf UNESCO, dan meraikan sasterawan negara, serta penulis diiktiraf SEA Writers Award. 

 

Ilmu persuratan dan industri buku Malaysia bagaikan kain tenun berbenang emas, menampilkan warisan tradisi lisan yang bermula daripada manuskrip kuno hampir 2,000 tahun lalu.

 

Warisan ini bukan sahaja membentuk landskap sastera Malaysia dan Asia Tenggara, malah menghubungkan kita dengan kekayaan budaya yang terus bergema dalam dunia moden.

 

Pada zaman dahulu, hikayat hidup dalam nadi masyarakat maritim dan kesultanan. Cerita rakyat diwariskan secara lisan, berfungsi sebagai kapal penjelajah membawa sastera, ilmu, dan jati diri bangsa merentas masa dan sempadan.

 

Seiring berlalunya zaman, naratif mengekalkan akar penceritaan untuk dinikmati generasi akan datang. Lebih penting lagi, kitab dan kanun awal kita menyimpan segala ilmu pengetahuan dan rahsia kekuatan bangsa.

 

Hingga kini, lebih 10,000 manuskrip tersimpan di lebih 150 muzium terkemuka dunia, perpustakaan, dan koleksi peribadi. Khazanah tidak ternilai ini menghubungkan Asia Tenggara dengan identiti budaya.

 

Bersempena Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025, Galeri TEROKA meraikan kesusasteraan Asia Tenggara. 



Legasi: Evolusi Kesusasteraan
Malaysia dan Asia Tenggara


Seperti bunga teratai yang mekar di atas air yang tenang, kesusasteraan Malaysia dan Asia Tenggara tidak pernah statik – ia berkembang dengan penuh keanggunan dan ketahanan.

 

Apabila laluan perdagangan dibuka dan kertas menjadi lebih mudah diakses, teknologi percetakan pula mengalami kemajuan, lalu rumah penerbitan mula berkembang pesat.

 

Abad ke-20 menandakan satu titik perubahan penting, apabila pena benar-benar membuktikan dirinya lebih ampuh daripada pedang. Penulis-penulis seperti José Rizal, Tan Sri A. Samad Ismail, dan Pramoedya Ananta Toer menjadi obor harapan, menggunakan kesusasteraan sebagai pencetus perjuangan untuk kebebasan, hak asasi manusia dan semangat menentukan nasib sendiri.´

 

Hari ini, Sasterawan Negara dan penulis pemikir ikonik dari seluruh rantau ini terus memberi ilham pada generasi baharu.

 

Industri buku Malaysia berkembang pesat, dipacu pelbagai penerbit yang meraikan karya yang dinamik. Kini kita melangkah lebih jauh ke persada dunia, memperkenalkan Malaysia dan Asia Tenggara kepada pembaca di seluruh dunia.

 

Menjelajah Sinar Ufuk Baharu:
Kesusasteraan Malaysia di Persada Dunia 

 

Demi membawa warisan sastera, seni, dan sejarah Malaysia ke persada dunia, agensi berkepentingan – termasuk MBKM, Kota Buku, DBP, ITBM dan MABOPA – aktif menyertai pameran buku antarabangsa untuk memperolehi pengalaman, kepakaran, dan pemahaman mendalam tentang selok-belok industri penerbitan.

 

Perdagangan hak cipta pula menjadi nadi utama dalam usaha ini. Melalui mekanisme tersebut, karya-karya Malaysia diterjemah, dijual, dan dipromosikan di peringkat global, sekali gus memperluas jangkauan penulis tempatan dan memperkukuh kehadiran kesusasteraan Malaysia di pentas dunia.

 

Langkah ini bukan sahaja menonjolkan kreativiti penulis Malaysia dan Asia Tenggara, malah turut memaparkan kekayaan budaya kita kepada khalayak antarabangsa.

 

Kini, industri buku Malaysia bukan sekadar pasaran – ia adalah saksi ketahanan budaya, kreativiti, dan daya inovasi negara. Ia umpama perjalanan merentas masa dan imaginasi, mengundang pembaca menyelami identiti serta warisan Malaysia.

 

PENGKARYA ASEAN BERSAMA LUNAR CODEX Arkib Terbesar Dunia di Bulan
50,000 Pengkarya. 262 Negara dan Wilayah. Lebih 250,000 Karya Seni dan Budaya

 

 

parafrasa

 

“Harapan kami ialah agar pengembara masa depan yang menjumpai kapsul masa ini akan melihat kekayaan dunia hari ini… Ia membuktikan bahawa walaupun dunia dilanda perang, wabak, dan perubahan iklim, kemanusiaan terus menemui ruang untuk mencipta seni dan
bermimpi.

- Samuel Peralta

 

Pameran TEROKA turut memberi perhatian kepada Misi Lunar Codex yang mengabadikan lebih 250,000 karya seni dari 50,000 pengkarya seni dan sastera termasuk warga Malaysia serta Asia Tenggara di permukaan Bulan.

 

Sumbangan dari 262 negara dan 149 kaum asli merangkumi artifak budaya – daripada ukiran-mikro manuskrip dan imej beresolusi tinggi kepada rakaman audio puisi dan skor muzik – yang kini dihantar dalam lapan misi angkasa lepas.

 

Setiap kapsul masa direka rapi dengan lapisan pelindung untuk menahan radiasi dan menjamin legasi budaya ini kekal
utuh selama ribuan tahun.

 

Sekitar tahun 2023, inisiatif ini menumpukan usaha khusus untuk memperkukuh perwakilan Asia. Penyair, artis visual, pemuzik, dan pengarah filem Asia Tenggara dijemput menyertai proses kuratorial yang melibatkan panel antarabangsa.

 

Karya Malaysia seperti Dragonlore dan Seni Nusantara, bersama-sama antologi puisi Polaris Trilogy, dipilih melalui penapisan terperinci untuk dimuatkan ke dalam arkib lunar. Keterlibatan ini turut merangkumi tradisi lisan, tarian, dan komposisi muzik kontemporari, menjadikan setiap kapsul koleksi serba lengkap budaya dunia.

 

 

hikayat

 

Jemput hadir ke TEROKA!

TEROKA: Galeri Digital Imersif dan Eksploratif 
Menjejak Warisan Persuratan Malaysia dan Aspirasi Global
23 Mei hingga 1 Jun 2025
10.00pagi hingga 8.00malam
Bilek Labuan, Aras 5
WTCKL, Kuala Lumpur

 

Ninot Aziz adalah Kurator Galeri, anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia  - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]