PATTANI 28 Julai - Kejayaan perniagaan ayam tempayan di Pattani membuktikan makanan tradisional juga mampu berkembang menjadi jenama serantau apabila digabungkan dengan strategi penjenamaan yang konsisten dan pemasaran digital yang berkesan.
Hidangan ayam panggang berempah itu kini menjadi tarikan pelancongan dan tular di media sosial, menjadikannya sumber pendapatan besar kepada usahawan tempatan di selatan Thailand.
Melihat potensi itu, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu kini giat melipatgandakan usaha membimbing usahawan makanan dan produk tradisional negeri agar mampu menembusi pasaran lebih luas.
Pengurus Kanan Pembangunan Usahawan YPU, Zulkifli Yunus berkata, antara usahawan muslim yang terkenal ialah perniagaan Ahlam Ayam Tempayan di Chana yang menghasilkannya dengan kaedah panggang tradisional menggunakan tempayan diperbuat daripada tanah liat.
"Mereka menjual 1,000 ekor ayam panggang setiap hari dan jumlah itu meningkat kepada 3,000 hingga 4,000 ekor pada bulan Ramadan.
"Pemiliknya, Khozali Dusamok memaklumkan perniagaan itu baru sahaja bermula sejak lima tahun lalu namun sudah mempunyai dua cawangan dengan bantuan 80 orang pekerja.
"Banyak strategi boleh dipelajari dari model perniagaan ini terutama aspek pemasaran menggunakan platform digital selain kualiti rasanya yang unik dan konsisten," katanya kepada pemberita selepas melawat restoran itu di sini, baru-baru ini.


Restoran tersebut adalah antara destinasi yang dikunjungi dalam lawatan rasmi ke Thailand yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Datuk Ariffin Deraman.
Lawatan itu turut disertai oleh 30 wakil jabatan dan agensi daripada kerajaan negeri serta kerajaan pusat bagi meninjau potensi perluasan perniagaan usahawan tempatan ke pasaran serantau.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, melalui bimbingan latihan, pembiayaan dan pemerkasaan digital, YPU yakin produk warisan Terengganu juga mampu mencipta kejayaan seperti usahawan Pattani, sekali gus menjadikan makanan tradisional sebagai aset dagangan yang kompetitif di peringkat serantau.
"Dengan penjenamaan yang konsisten, visual menarik dan promosi agresif di platform digital seperti TikTok dan Facebook, ayam panggang berempah ini kini menjadi ikon kulinari baharu di selatan Thailand, membuktikan produk tradisional Terengganu juga boleh diangkat menjadi jenama komersial yang berdaya saing.
"Trend ini wajar dijadikan inspirasi kepada usahawan makanan tradisional Terengganu seperti pengusaha sata, keropok lekor, nasi dagang dan ayam percik yang memiliki identiti tersendiri.
"Melalui strategi penjenamaan moden, reka bentuk pembungkusan yang profesional dan promosi digital yang berkesan, produk tempatan juga mampu menembusi pasaran pelancongan dan eksport serantau, khususnya ke Thailand, Singapura dan Indonesia," katanya. - DagangNews.com










