Tekanan berganda 2026: Kos melonjak, peraturan baharu himpit PKS Malaysia – OCBC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan berganda 2026: Kos melonjak, peraturan baharu himpit PKS Malaysia – OCBC

Pelaksanaan fasa akhir e-invois dijangka memberi kesan lebih besar kepada perusahaan kecil berbanding firma bersaiz sederhana, menurut pakar dari OCBC. - Gambar K Azwan
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Jan – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dijangka berdepan cabaran yang semakin mencabar pada 2026, dipacu perubahan peraturan serta peningkatan kos operasi, menurut ahli ekonomi kanan ASEAN OCBC, Lavanya Venkateswaran.

 

Beliau berkata, pelaksanaan fasa akhir e-invois dijangka memberi kesan lebih besar kepada perusahaan kecil berbanding firma bersaiz sederhana, yang lebih terjejas pada 2025.

 

“Bilangan perusahaan kecil dan mikro adalah jauh lebih besar berbanding perniagaan sederhana dan besar, justeru kesan keseluruhan boleh menjadi meluas,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Pada 2024, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mencatat pertumbuhan 5.8 peratus tahun ke tahun (YoY) dan menyumbang 39.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

 

Lavanya turut menyorot perubahan pasaran buruh yang bakal memberi kesan kepada PKS.

 

Ini termasuk caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja bukan warganegara, ditetapkan pada kadar dua peratus untuk majikan dan pekerja, yang berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2025.

 

Selain itu, mekanisme levi berperingkat (multi-tier levy mechanism atau MTLM) akan dilaksanakan mulai 2026 bagi mengurangkan peratusan pekerja asing kepada 10 peratus menjelang 2030, berbanding 15 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

 

Sementara itu, Lavanya berkata kenaikan bil utiliti serta peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka mewujudkan tekanan kos tambahan dalam rantaian bekalan PKS.

 

Beliau menambah, tekanan ini akan memberi kesan yang tidak seimbang kepada firma kecil berbanding syarikat besar.

 

Beliau turut merujuk kepada Kajian Tinjauan PKS 2025/2026 oleh Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA)-Ipsos, yang mendapati 69 peratus PKS merancang untuk menaikkan harga dalam tempoh enam bulan akan datang bagi mengimbangi kos input yang lebih tinggi.

 

Menurutnya, walaupun 91 peratus PKS menjangkakan hasil yang stabil atau lebih tinggi, kebanyakan mereka mempunyai penampan tunai yang terhad, dengan 70 peratus hanya memiliki rizab kurang daripada enam bulan, sekali gus menonjolkan kekangan keupayaan mereka untuk menyerap kejutan tambahan. - DagangNews.com