TDM beri kontrak RM7.65 juta pulihkan ladang kelapa sawit kepada Terengganu Dredging | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TDM beri kontrak RM7.65 juta pulihkan ladang kelapa sawit kepada Terengganu Dredging

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 3 Mac - Anak syarikat TDM Bhd, TDM Plantation Sdn Bhd melantik Terengganu Dredging Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi projek perintis pemulihan ladang kelapa sawit di Kemaman.

 

Nilai kontrak adalah sebanyak RM7.65 juta dan ia dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan memandangkan terdapat persilangan kepentingan antara pemegang saham dan pengarah yang sama.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan bahawa Menteri Besar Terengganu (Incorporated) merupakan pemegang saham utama yang berkepentingan, manakala YBM Tengku Seri Bijaya Raja ialah pengarah yang berkepentingan.

 

 

Kerja-kerja pemulihan ladang kelapa sawit ini bertujuan untuk memaksimumkan kepadatan penanaman kelapa sawit melalui pelbagai kerja penyediaan tanah dan penanaman semula kelapa sawit.

 

"Tapak projek kini mengalami pertumbuhan kelapa sawit yang terbantut, dengan jumlah pokok yang sangat rendah, iaitu purata 81 pokok bagi setiap hektar, serta aksesibiliti yang terhad akibat runtuhan teres dan jalan ladang.

 

“Kekangan ini telah mengakibatkan prestasi yang amat rendah, dengan tapak merekodkan purata hasil tandan buah segar hanya 9.7 tan bagi setiap hektar pada 2025," katanya.

 

 

 

 

 

"Tanpa campur tangan pembetulan, kawasan yang terjejas dijangka menjadi semakin sukar diakses dan akhirnya ditinggalkan, seterusnya meningkatkan risiko serangan perosak serta terus merendahkan nilai aset TDM," tambahnya. - DagangNews.com