TDA Memacu Pendigitalan Dokumen Import & Eksport melalui Program Kolaborasi Industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TDA Memacu Pendigitalan Dokumen Import & Eksport melalui Program Kolaborasi Industri

Barisan kepimpinan Kastam bersama Dr Sharoul Jambari, Ketua Pegawai Eksekutif merasmikan MyCIEDS di Pulau Pinang pada Selasa.
Oleh Mohamad Iman

PULAU PINANG 28 Mei - Technology Depository Agency Berhad (TDA) telah menaik taraf Sistem Dokumentasi Import Eksport Kastam Malaysia (MyCIEDS) kepada satu sistem digital bersepadu, yang direka untuk mempertingkatkan pengurusan dan pemantauan sokongan import dan eksport bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

 

Sistem baru ini akan dilancarkan secara menyeluruh di seluruh negara dan dijangka memainkan peranan utama dalam pendigitalan perkhidmatan kastam, serta memperkukuh kecekapan pengurusan sempadan perdagangan Malaysia.

 

TDA, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, memberi tumpuan untuk memastikan pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP) kerajaan, secara menyeluruh dengan cara yang lebih sistematik, teratur, dan berpusat.

 

Projek Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE), yang dijenamakan kepada MyCIEDS merupakan versi yang diperbaharui daripada sistem sebelumnya, dibangunkan dengan teknologi terkini oleh Edaran IT Services Sdn Bhd melalui ICP kerajaan. Sistem ini dibina dengan teknologi Document Management System (DMS) dan diintegrasikan dengan Sistem Maklumat Kastam (SMK).

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Sharoul Jambari, kejayaan projek ini menunjukkan bagaimana mekanisme ICP boleh dimanfaatkan secara strategik untuk menyokong agenda nasional.

 

"ICP bukan sahaja memenuhi obligasi perolehan, tetapi berfungsi sebagai pemangkin untuk pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan, dan penciptaan nilai jangka panjang untuk negara. Melalui pendekatan ini, kita dapat memastikan impak yang berterusan kepada ekonomi dan ekosistem industri tempatan."

 

“Sistem ini dijangka akan memberi manfaat kepada zon operasi JKDM di seluruh negara serta memberi impak positif terhadap kelancaran rantaian perdagangan dan daya saing ekonomi negara,” katanya.

 

MyCIEDS direka untuk memodenkan pengurusan digital dokumen sokongan import dan eksport, memudahkan pemantauan, penyimpanan dan akses dokumen yang berkaitan oleh JKDM, menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh ekosistem digital melalui penggunaan teknologi tempatan, serta menyumbang kepada kelancaran operasi kastam dan mempercepatkan proses pelepasan barangan.

 

TDA komited dalam memastikan setiap projek di bawah inisiatif ICP memberi nilai tambah sebenar kepada negara melalui pembangunan kapasiti teknologi tempatan dan kesan limpahan ekonomi yang mampan. Sehingga kini, TDA telah berjaya melaksanakan 142 program ICP di bawah perolehan kerajaan, dan memperkukuhkan sektor industri strategik Malaysia.

 

Inisiatif ini telah meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global, khususnya dalam bidang teknologi dan inovasi. 657 projek ICP yang dilaksanakan di bawah program ini telah memberi impak yang besar terhadap pelbagai aspek ekonomi, termasuk pertumbuhan pendapatan, peningkatan produktiviti, penciptaan nilai tambah dalam produk dan perkhidmatan, pertumbuhan KDNK, dan pengukuhan pasaran pekerjaan. - DagangNews.com