Tarif tambahan 10% AS: Belum ada keputusan muktamad, rundingan masih berjalan - MITI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif tambahan 10% AS: Belum ada keputusan muktamad, rundingan masih berjalan - MITI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 JunKementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan cadangan tarif 10% yang diumumkan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) masih di peringkat awal proses penilaian dan tiada sebarang tarif baharu dikena terhadap Malaysia setakat ini.

 

MITI berkata, kadar tarif tersebut hanyalah bersifat cadangan dan belum dimuktamadkan, dengan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas USTR melengkapkan keseluruhan proses siasatan serta mengeluarkan keputusan rasmi.

 

"Cadangan berkenaan kini sedang melalui proses konsultasi awam yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan sebelum sebarang tindakan lanjut ditentukan.

 

"Keputusan muktamad berhubung cadangan tarif tersebut hanya akan diumumkan pada penghujung Julai 2026, iaitu sekitar tempoh tamatnya tarif sementara di bawah Seksyen 122 pada 24 Julai 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

USTR pada 2 Jun 2026 menerbitkan dapatan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan buruh paksa yang antara lain meletakkan Malaysia bersama 10 negara lain diletakkan dalam cadangan tarif tambahan sebanyak 10%.

 

MITI menjelaskan, cadangan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bukti bahawa negara ini mengamalkan buruh paksa atau mempunyai rekod perlindungan pekerja yang lemah.

 

Artikel Berkaitan: Malaysia berdepan tarif tambahan 10% AS susulan isu buruh paksa - MBSB Research

 

Sebaliknya, dapatan siasatan USTR itu lebih tertumpu kepada aspek kawal selia perdagangan, khususnya berkaitan ketiadaan mekanisme undang-undang khusus bagi menyaring kemasukan barangan dan bahan mentah dari negara ketiga yang mungkin dihasilkan menggunakan buruh paksa.

 

MITI menambah, laporan USTR tidak menyimpulkan bahawa Malaysia mengamalkan buruh paksa, malah ia tidak mencerminkan keadaan sebenar pasaran buruh negara yang tertakluk kepada pelbagai undang-undang dan penguatkuasaan yang ketat.

 

"Apa yang dibangkitkan oleh pihak berkuasa perdagangan Amerika Syarikat (AS) adalah keperluan untuk Malaysia memperkukuhkan kerangka larangan import terhadap produk yang mempunyai elemen buruh paksa dalam rantaian bekalan antarabangsa.

 

"Kerajaan kini sedang mengambil langkah proaktif bagi menangani jurang kawal selia tersebut selaras dengan komitmen yang telah dipersetujui di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat," katanya.

 

Antara undang-undang utama yang menjadi tunjang perlindungan pekerja ialah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2021 serta Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

 

Kesemua undang-undang tersebut dikuatkuasakan secara berterusan oleh agensi berkaitan bagi memastikan hak pekerja dilindungi serta sebarang bentuk eksploitasi tenaga kerja dapat dibendung.

 

Sementara itu MITI berkata, sebagai sebahagian daripada proses itu, pihak yang berkepentingan perlu mengemukakan permohonan untuk hadir ke sesi pendengaran bersama ringkasan keterangan selewat-lewatnya pada 22 Jun 2026.

 

 

 

 

 

 

 

Tambahnya, maklum balas bertulis perlu dihantar sebelum 6 Julai 2026, manakala sesi pendengaran awam dijadualkan berlangsung pada 7 Julai 2026.

 

"Selepas tempoh tersebut, sebarang pelaksanaan tarif di bawah Seksyen 301 hanya akan berkuat kuasa sekiranya dimuktamadkan oleh USTR," katanya. - DagangNews.com