Tarif lebih rendah TNB didorong penurunan kos arang batu, kata AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif lebih rendah TNB didorong penurunan kos arang batu, kata AmInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Jun — Pelaksanaan tarif yang lebih rendah di Semenanjung Malaysia bermula 1 Julai 2025 berikutan faktor penurunan kos arang batu, menurut AmInvestment Bank Research (AmInvest).


Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi harga komoditi itu yang murah membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga mampu menyelaraskan tarif akhir elektrik dengan menurun 13.5 peratus.


Perkembangan itu adalah bukan luar biasa walaupun tarif asas didapati telah meningkat sebanyak 13.6 peratus kepada 45.4 sen/kwH dalam jadual tempoh kawal selia 4 (RP4) daripada 39.95 sen/kWH.


"Pelarasan tarif bulanan meringankan beban aliran tunai TNB dan dapat menyerapkan harga bahan api lebih cepat kerana kelulusan kos kelazimannya setiap enam bulan," kata AmInvest dalam nota kajian.


Pada 20 Jun 2025, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan struktur tarif elektrik untuk Semenanjung Malaysia dari 2025 hingga 2027 dengan 23.6 juta pengguna domestik menikmati kadar lebih adil.


Ia melibatkan penstrukturan semula komponen kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api yang sebelum itu disebut laluan kos ketidakseimbangan (ICPT).


Mengulas lanjut, AmInvest berkata, harga arang batu penanda aras Newcastle telah merosot 26.8% daripada paras tertinggi sejak 7 Oktober 2024 kepada AS$112/tan (kira-kira RM479.32) ketika ini.


"Justeru, tiada kesan kepada TNB kerana walaupun tarif asas telah meningkat, ICPT atau pelarasan bahan api sebenarnya merosot disebabkan kos arang batu yang lebih rendah," kata firma tersebut.


Pada 1QFY25, TNB mencatatkan pelarasan bahan api negatif RM175.2 juta berbanding pelarasan positif RM2.4 bilion pada 1QFY24 kerana permintaan elektrik sebenar jatuh di bawah volum yang dibenarkan.


Selain itu kata AmInvest, syarikat-syarikat komersial dan perindustrian (C&I) menikmati kadar tenaga elektrik lebih murah di bawah RP4 yang bergantung kepada penggunaan dan voltan mereka.


Bagaimanapun jika pelanggan C&I merekodkan tarif elektrik lebih rendah, ia mungkin disebabkan penurunan permintaan apabila mereka beralih kepada projek solar atas bumbung atau elektrik hijau.


"Sekiranya berlaku lonjakan bulanan harga arang batu mengakibatkan pelarasan bahan api melebihi 3 sen/kWj, TNB masih lagi perlu mendapatkan kelulusan tarif daripada pihak ST," tambah firma itu.


Berdasarkan perkembangan itu, AmInvest menaik taraf TNB kepada 'pegang' daripada 'underweight' dengan pendapatannya adalah bertahan dan dilindungi di bawah parameter RP4. - DagangNews.com