Tanah di Singapura berpotensi jana pembangunan S$1.4 bilion kepada syarikat JV Sunway-Sing Holdings, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tanah di Singapura berpotensi jana pembangunan S$1.4 bilion kepada syarikat JV Sunway-Sing Holdings, kata HLIB

Gambar: Viator
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Julai - Lot tanah di Singapura yang diintai syarikat usaha sama (JV) antara Sunway Berhad dan Sing Holdings berpotensi dibangunkan dengan nilai S$1.4 bilion (RM4.7 bilion), kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Katanya, tapak Chuan Grove seluas lebih 170,000 kaki persegi dijangka boleh menempatkan kira-kira 555 unit kediaman.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar jualan yang sihat dengan harga yang dicapai oleh projek kawasan berhampiran menunjukkan permintaan kukuh, keyakinan pasaran dan kelayakan projek Chuan Grove.

 

“Tapak Chuan Grove ini dijangka membantu meningkatkan projek dalam segmen kediaman swasta,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, The Edge Singapore melaporkan bidaan oleh usaha sama tersebut — dikawal 65% oleh Sing Holdings dan 35% oleh Sunway — tampil dengan tawaran tertinggi dengan nilai S$703.6 juta, atau S$1,376 per kaki persegi mengikut nisbah lot.

 

Tapak pajakan pegangan selama 99 tahun ini terletak dalam jarak 400 meter dari Stesen MRT Lorong Chuan.

 

HLIB berkata, tapak tersebut dijangka dianugerahkan secara rasmi kepada pemaju yang berjaya dalam tempoh satu hingga dua minggu, walaupun Pihak Berkuasa Pemulihan Bandar (Urban Redevelopment Authority, URA) mempunyai hak untuk menolak bidaan tertinggi atau mana-mana bidaan.

 

Katanya, sekiranya dianugerahkan, projek itu akan menjadi kerjasama pertama antara Sunway dan Sing Holdings dalam pasaran hartanah Singapura. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pelancaran projek akan berlaku antara tahun 2026 dan 2027, yang dijangka menjana pendapatan sebanyak RM40.4 juta setahun, atau 0.65 sen sesaham untuk Sunway selama tempoh empat tahun.

 

Buat masa ini, HLIB mengekalkan unjuran kewangan Sunway sehingga pengumuman rasmi dibuat. Firma penyelidikan tersebut turut mengekalkan saranan "beli" terhadap Sunway, dengan harga sasaran (TP) RM5.90 sesaham.

 

Ketika ini, Sunway mempunyai lima projek yang sedang berjalan dan akan datang, termasuk The Continuum, Terra Hills, dan sebuah tapak di Tampines dalam segmen kondominium swasta, serta Novo Place dan Otto Place dalam segmen kondominium eksekutif. - DagangNews.com