KUALA LUMPUR 5 Mac — TA Securities menjangkakan hasil daripada segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) Steel Hawk Berhad berpotensi merosot pada FY26.
Menurutnya, penyusutan berkenaan diramal boleh mencecah 55% susulan pemulihan semula aktiviti dalam sektor minyak dan gas (O&G) pada tahun kewangan itu yang berpotensi mula meningkat normal.
Kata firma penyelidikan tersebut, sepanjang FY25 segmen EPCC mencatat perolehan yang luar biasa tinggi apabila merangkumi kira-kira 77% atau sebanyak RM94 juta daripada jumlah hasil kumpulan.
"Bagaimanapun, sumbangan itu dijangka kembali kepada paras lebih normal sekitar 45% hingga 55% pada FY26 apabila Steel Hawk mengimbangi semula fokus kepada segmen O&G," kata TA Securities.
Pengurusan kumpulan itu jelasnya, kini memberi tumpuan kepada segmen O&G dengan jangkaan potensi kontrak baharu bernilai sehingga RM150 juta dalam FY26 seiring peningkatan aktiviti industri.
Dalam segmen tersebut, pendedahan kumpulan kekal tertumpu kepada segmen hiliran yang merangkumi 85%, selaras dengan kekuatannya dalam perkhidmatan penyelenggaraan serta kerja berkaitan loji.
Dalam pada itu, TA Securities berkata kedudukan kewangan Steel Hawk masih disokong oleh buku tempahan yang kukuh serta saluran tender aktif merentasi beberapa segmen perniagaan semasa.

"Setakat 31 Disember 2025, buku tempahan segmen EPCC diperluas berjumlah RM138.1 juta, yang diiktiraf antara FY26 hingga FY27, dan memberi keterlihatan hasil dalam tempoh terdekat," katanya.
Sementara bagi segmen O&G pula jelas firma penyelidikan tersebut, kumpulan itu mempunyai buku tender bernilai RM120 juta merangkumi enam projek selain dua kontrak secara atas panggilan.
TA Securities menambah, dalam segmen pengurusan pembinaan dan kerja mekanikal (CMW), Steel Hawk mempunyai buku tempahan sekitar RM30 juta dengan tujuh projek sudah berjaya disenarai pendek.
Selain itu, syarikat turut membida secara langsung projek utiliti berkaitan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai kira-kira RM18 juta yang dijangka menyokong aliran projek untuk jangka pendek.
"Pada masa yang sama, kami berpandangan penglibatan aktif kumpulan ini dalam projek pusat data (DC) turut membuka banyak lagi peluang pertumbuhan baharu kepada pendapatan syarikat," jelasnya.
Steel Hawk sebelum ini kata TA Securities, memperoleh kontrak kerja mekanikal dan elektrik (M&E) bagi projek DC di Johor bernilai kira-kira RM35 juta dengan sasaran siap menjelang Julai 2026.
Pengurusan kumpulan juga memaklumkan bahawa mereka sedang membida dua lagi kontrak kerja M&E berkaitan DC yang berpotensi mengembangkan lagi saluran projek sekiranya berjaya diperoleh.
Firma berkenaan namun menetapkan unjuran pendapatan tanpa perubahan dan mengekalkan saranan 'beli' terhadap sahamnya dengan harga sasaran (TP) 41 sen sesaham. - DagangNews.com








