TA Securities ramal hasil Exsim Hospitality pada 3QFY26 naik dipacu 2,000 unit bilik sedia beroperasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities ramal hasil Exsim Hospitality pada 3QFY26 naik dipacu 2,000 unit bilik sedia beroperasi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb – Sumbangan lebih 2,000 unit bilik sedia beroperasi diperoleh pada Januari 2026 diramal menjadi faktor pemacu utama lonjakan pendapatan Exsim Hospitality Berhad dalam 3QFY26.


Menurut TA Securities, prestasi 1HFY26 kumpulan itu secara keseluruhan adalah sejajar jangkaan dengan keuntungan bersih teras sebanyak RM16.8 juta, yang mewakili 50.1% daripada unjuran tahun penuhnya.


Firma itu berkata, secara tahun ke tahun (YoY), keuntungan teras naik 944.2%, didorong kesan asas rendah pada FY25 yang mencatatkan sumbangan minimum segmen hospitaliti dan reka bentuk dalaman.


"Bagi perbandingan suku ke suku (QoQ), hasil susut 1.3% disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen reka bentuk dalaman yang merosot 19.3%, susulan projek masih di peringkat awal," katanya.


Keuntungan selepas cukai (PAT) teras Exsim Hospitality namun kekal mendatar apabila penambahbaikan margin operasi sebanyak 280 mata asas diimbangi peningkatan kadar cukai efektif pada kadar sama.


TA Securities turut memaklumkan tiada lagi sumbangan segmen 'own-and-operate' memandangkan Hotel Corus dan Tower E Hotel masih dalam proses pengubahsuaian yang dijangka mula beroperasi pada 2H26.


Sehubungan itu, memandangkan prestasi kewangan adalah dalam jangkaan, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan tanpa sebarang perubahan buat masa ini.


"Bagi prospek, kami menjangka bahagian reka bentuk kekal penyumbang utama hasil, disokong buku tempahan belum dibil RM131.7 juta, bersamaan 0.9 kali liputan hasil FY25 segmen itu," tambahnya.


Setakat tahun kewangan berjalan (YTD FY26), Exsim Hospitality meraih kontrak bernilai RM48.8 juta atau kira-kira 19.5% daripada andaian perolehan kontrak baharu penuh tahun sebanyak RM250 juta.


Momentum dijangka berterusan menerusi projek pembangunan aktif Exsim Group serta penyertaan dalam tender berskala besar termasuk potensi kerja reka bentuk dalaman Merdeka 118 bagi Maybank.


Dalam segmen hospitaliti, kumpulan itu menambah 198 unit baharu pada 2QFY26 menjadikan jumlah keseluruhan 1,637 unit, selain memperoleh lebih 2,000 kunci tambahan pada Januari 2026 sahaja.


"Kami menjangkakan 3QFY26 mencatatkan peningkatan ketara pendapatan, dipacu sumbangan bilik baharu serta kadar penggunaan buku tempahan lebih tinggi projek reka bentuk dalaman," kata TA Securities.


Pengembangan berterusan jenama Mana Mana, pemulihan sektor pelancongan ke paras sebelum pandemik serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026) turut dijangka mengukuhkan keterlihatan hasil.


Sehubungan itu, firma tersebut masih terus mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Exsim Hospitality dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 40 sen sesaham berasaskan penilaian jumlah bahagian (SOP).


Bagaimanapun, ia turut menyenaraikan risiko utama termasuk kelewatan pengisian kontrak baharu dan prospek aktiviti pelancongan yang lebih lemah daripada jangkaan. - DagangNews.com