TA Securities khuatir ICT Zone terlalu bergantung besar kepada kontrak dagangan sekali sahaja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities khuatir ICT Zone terlalu bergantung besar kepada kontrak dagangan sekali sahaja

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Mac – Kebergantungan kepada kontrak dagangan yang bersifat sekali sahaja terus menjadi isu kritikal dalam menilai kemampanan pendapatan ICT Zone Asia Berhad, kata TA Securities


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut berkata, aliran kontrak baharu yang konsisten dilihat dapat mengukuhkan lagi prospek jangka pendek syarikat rumusan teknologi tempatan berkenaan.


Kumpulan itu jelasnya, memulakan tahun 2026 dengan momentum kukuh apabila berjaya memperoleh sejumlah lima kontrak setakat ini, termasuk tempahan pembelian terbaharu bernilai RM24.5 juta.


"Kontrak ini diraih anak syarikatnya, ICT Zone Sdn Bhd, melibatkan pembekalan perkakasan seperti komputer riba dan peranti kepada pengedar yang tidak didedahkan," kata TA Securities dalam notanya.


Berdasarkan andaian margin bersih 6%, kontrak itu dijangka menyumbang RM1.5 juta kepada keuntungan bersih selepas pelaksanaan, dan memberi sokongan tambahan kepada pendapatan jangka pendek ICT Zone.


Aliran perolehan kontrak yang berterusan ini mencerminkan keupayaan kumpulan mendapatkan projek dagangan berskala besar, di samping mengekalkan penembusan pelanggan dan kecekapan pelaksanaan.

 

ICT Zone Asia_DagangNews


Walaupun kontrak tersebut diambil kira dalam unjuran semasa, TA Securities berpandangan momentum berterusan ini meningkatkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat menambah semula buku tempahan.


"Ini mengekalkan trajektori pertumbuhan ICT Zone, dan dari segi unjuran, kami tiada sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan kerana kontrak itu dimasukkan dalam jangkaan," jelasnya.


Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 31 sen sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 11 kali bagi tahun kewangan 2026.


TA Securities turut menegaskan syarikat berkenaan masih kekal lagi dinilai menarik disokong model perniagaan yang berasaskan kepada kontrak secara berulang, dan pendekatan kitar hayat pelbagai 


Perkembangan positif tersebut diyakini meningkatkan kecekapan modal serta limpahan manfaat daripada agenda pendigitalan kerajaan yang berterusan dalam jangka sederhana. - DagangNews.com