KUALA LUMPUR 5 Jun — Velesto Energy Berhad memperoleh kontrak penggerudian baharu bagi pelantar NAGA 6, namun kadar sewaan harian (DCR) dilihat berisiko ke atas kumpulan itu, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu menambah, ia dipercayai lebih rendah daripada jangkaan pasaran dan dijangka memberi tekanan kepada prospek keuntungan syarikat dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.
Ujarnya, DCR itu melibatkan tender Northern Gulf Petroleum Pte Ltd bagi penyediaan pelantar serta perkhidmatan berkaitan penggerudian empat telaga 'infill' dan tiga telaga eksplorasi di Thailand.
"Kontrak Velesto ini namun bermula pada suku ketiga tahun kewangan 2026 dengan tempoh operasi lima bulan serta ada pilihan tambahan bagi dua lagi telaga eksplorasi," jelas TA Securities dalam nota.
Walaupun nilai kontrak tidak didedahkan, ia menganggarkan DCR hanya sekitar AS$100,000 (RM403,150) sehari berdasarkan kadar pasaran semasa bagi pelantar 'jack-up' premium di rantau Asia Tenggara.
Anggaran tersebut lebih rendah berbanding unjuran terdahulu iaitu AS$120,000 (RM483,790) sehari, dan menyebabkan ia menyemak turun jangkaan hasil bagi FY26 hingga FY28 antara 16.5% hingga 20%.
Artikel berkaitan: Velesto peroleh kontrak baharu gerudi tujuh telaga di pesisir Teluk Thailand mulai suku ketiga 2026

Menurut TA Securities, meskipun sumbangan dijangka lebih rendah daripada jangkaan awal, kontrak itu tetap memberi Velesto kelegaan kerana dapat mengurangkan risiko pelantar tidak beroperasi.
"Kontrak ini meningkatkan keterlihatan kadar penggunaan aset dan tempahan kerja pada masa depan, serta mengesahkan permintaan terhadap pelantar premium di rantau ini masih kekal kukuh," katanya.
Selain itu ujar firma tersebut, pilihan tambahan dua telaga eksplorasi berpotensi memanjangkan tempoh kontrak dan menambahkan sumbangan pendapatan sekiranya dilaksanakan oleh pelanggan.
Berikutan semakan unjuran hasil dan tahun asas penilaian, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Velesto dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada 35 sen berbanding 32 sen.
Ia menjelaskan, peningkatan TP dibuat berdasarkan gandaan 15 kali pendapatan sesaham (EPS) unjuran CY2027 serta mengambil kira premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 3%.
"Kami kekal positif terhadap prospek syarikat ini berikutan kebimbangan isu keselamatan bekalan tenaga global yang dijangka menyokong perbelanjaan modal (capex) sektor luar pesisir," katanya.
Pada masa sama, penawaran pelantar 'jack-up' yang semakin ketat dijangka memulihkan DCR pada masa depan, dan menyokong pertumbuhan Velesto dalam tempoh jangka panjang. - DagangNews.com







