KUALA LUMPUR 22 Jan – Penyedia rumusan tenaga, T7 Global Berhad, menamakan secara rasmi unit kerja penyelenggaraan hidraulik (HWU) terbaharunya, TSeven Ryan 460K, sekali gus mengukuhkan keupayaan kumpulan dalam segmen perkhidmatan telaga bernilai tinggi.
Dalam kenyataan hari ini, T7 Global berkata, majlis penamaan yang berlangsung di Kemaman, Terengganu itu mencerminkan komitmen berterusan kumpulan untuk melabur dalam aset berkualiti tinggi bagi menyokong keperluan industri minyak dan gas yang semakin berkembang.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Hanafiah Mat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu dan turut dihadiri wakil PETRONAS serta Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM).
Menurut T7 Global, TSeven Ryan 460K merupakan unit modular dan ringan yang dilengkapi teknologi canggih termasuk sistem rak paip menegak, sistem gantungan BOP, kren jib 360 darjah serta large-through bore 32 inci, membolehkan pelaksanaan operasi workover serta penutupan dan peminggiran telaga (P&A) yang kompleks secara cekap dalam jejak operasi yang lebih kompak.
Kumpulan berkata, HWU tersebut akan memberi tumpuan utama kepada operasi di perairan Malaysia bagi melaksanakan aktiviti workover telaga, penamatan telaga dan penyingkiran konduktor, sejajar dengan peningkatan aktiviti penyelenggaraan dan penyahtauliahan aset huluan dalam negara.
Pengarah Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata, penamaan TSeven Ryan 460K menandakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan aset kumpulan.
“Syarikat berbesar hati meraikan penamaan rasmi TSeven Ryan 460K, yang mencerminkan pelaburan berterusan kami dalam aset berkualiti tinggi bagi menyokong keperluan industri minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata, HWU itu mengukuhkan keupayaan perkhidmatan telaga T7 Global dan meletakkan Kumpulan pada kedudukan strategik untuk merebut peluang dalam aktiviti workover, intervensi telaga serta plug and abandonment, khususnya di Malaysia dan rantau ini.
Menurut Kay Zhuin, selain memperkukuh keupayaan operasi, T7 Global turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan dan kemampanan jangka panjang industri.
“Syarikat berbangga dapat bekerjasama dengan MPM dan pemain industri lain dalam penubuhan Akademi HWU pada 2024, iaitu sebuah platform berstruktur dan sejajar dengan keperluan industri bagi membangunkan bakat serantau dalam operasi hydraulic workover dan abandonment,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif tersebut menyokong usaha memperkukuh keupayaan tempatan serta membangunkan saluran bakat mampan bagi memenuhi agenda penyahtauliahan jangka panjang Malaysia. - DagangNews.com








