KUALA LUMPUR 26 Jan – T7 Global Berhad mengesahkan anak syarikatnya, T7 Kemuncak Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian tambahan bagi melanjutkan tempoh siap Program Penggantian Aset Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sehingga suku keempat 2028 (Q4 2028).
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, T7 Global berkata, perjanjian tambahan tersebut telah ditandatangani pada 25 November 2025 antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd selaku majikan, Vanderlande Logistics Pte Ltd dan T7 Kemuncak Sdn Bhd, bagi memuktamadkan semakan garis masa serta penjajaran semula obligasi pihak-pihak terlibat berhubung projek berkenaan.
Menurut T7 Global, lanjutan tempoh siap projek itu dibuat bagi menyesuaikan pelaksanaan kerja dengan keadaan tapak semasa serta keperluan projek yang semakin kompleks, sekali gus memastikan penyelarasan projek dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Pelaksanaan perjanjian tambahan ini mencerminkan hasrat bersama semua pihak untuk menyiapkan projek secara efektif demi kepentingan semua pemegang taruh, tanpa menjejaskan hak masing-masing di bawah kontrak asal,” kata T7 Global dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Projek BHS KLIA Terminal 1 tersebut melibatkan kerja reka bentuk, pembinaan, pemasangan, integrasi, penyiapan, pengujian dan pentauliahan, dan sebelum ini dianugerahkan kepada konsortium VL–T7 menerusi surat anugerah bertarikh 21 Oktober 2022.
Mengulas faktor risiko, T7 Global berkata, semakan garis masa itu hanya mengakibatkan lanjutan tempoh pelaksanaan projek, namun tidak menimbulkan sebarang risiko material tambahan kepada syarikat selain risiko sedia ada di bawah kontrak asal.
Lembaga pengarah T7 Global berpandangan garis masa baharu yang dipersetujui bersama itu akan menyokong penyelarasan projek yang lebih lancar, khususnya bagi projek berskala besar dan berprofil tinggi seperti infrastruktur lapangan terbang utama negara.
Dari segi kewangan, T7 Global berkata, perjanjian tambahan berkenaan tidak memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih, nisbah gearan, modal saham atau pegangan pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Syarikat itu turut menegaskan tiada kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, melibatkan pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam perjanjian tambahan tersebut.
“Setelah mempertimbangkan semua aspek berkaitan, lembaga pengarah berpendapat bahawa perjanjian tambahan ini adalah adil, munasabah dan selaras dengan kepentingan terbaik T7 Global,” katanya.
T7 Global menambah, pelaksanaan perjanjian tambahan itu juga tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia, sekali gus membolehkan projek diteruskan mengikut perancangan yang telah disemak. - DagangNews.com








