T7 Global catat pendapatan RM721.2 juta pada FY2025, tertinggi dalam sejarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global catat pendapatan RM721.2 juta pada FY2025, tertinggi dalam sejarah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb – T7 Global Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan pendapatan tahunan mencecah rekod tertinggi RM721.2 juta, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

 

Untung selepas cukai (PAT) meningkat 4 peratus kepada RM47.1 juta, manakala untung sebelum cukai (PBT) pula direkodkan pada RM69.2 juta. 

 

Prestasi ini menandakan pertumbuhan berterusan T7 Global dalam menghadapi cabaran pasaran tenaga yang kompetitif.

 

Sektor tenaga terus menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat, mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 51.6 peratus, dan menyumbang 76.9 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan. 

 

Bagi suku keempat FY2025, T7 Global merekodkan pendapatan sebanyak RM193 juta, naik 2 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya. Untung sebelum cukai bagi suku terakhir ialah RM23.1 juta manakala untung selepas cukai dicatatkan pada RM11.2 juta.

 

T7 Global melaporkan beberapa kontrak baharu dalam kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian serta pemasangan dan pengujian. Kontrak-kontrak ini kini menjadi sumber utama pendapatan syarikat, dan hasil daripada projek-projek ini telah membantu meningkatkan pertumbuhan syarikat.

 

Pengarah Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil peluang di pasaran serantau. 

 

“Aktiviti penggantian dan penamatan platform luar pesisir dijangka meningkat, sekali gus membuka peluang untuk pertumbuhan jangka panjang.

 

“T7 Global komited untuk menggunakan kepakaran kejuruteraan dan teknikal syarikat bagi memastikan pulangan yang stabil kepada pemegang saham. Syarikat memberi tumpuan kepada projek-projek strategik untuk memberikan nilai jangka panjang,” katanya.- DagangNews.com