Syarikat-syarikat Malaysia disaran rebut peluang pasaran Kemboja ekoran gangguan bekalan akibat perang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat-syarikat Malaysia disaran rebut peluang pasaran Kemboja ekoran gangguan bekalan akibat perang

Perdagangan rentas sempadan di Pintu Sempadan Antarabangsa Daung pada 13 Jun 2025 - Gambar fail
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Persatuan Perniagaan Malaysia-Kemboja (MCBA) menggesa syarikat-syarikat Malaysia merebut peluang baharu di Kemboja susulan gangguan rantaian bekalan ekoran situasi di sempadan Kemboja-Thailand baru-baru ini.

 

MCBA berkata walaupun kedua-dua negara itu telah mencapai gencatan senjata, pengangkutan beberapa produk dari Thailand masih terganggu, dengan rantaian bekalan ke Kemboja menjadi perlahan secara ketara atau terhenti sepenuhnya.

 

“Perkembangan ini walaupun menjejaskan rantaian bekalan pasaran Kemboja, ia juga membuka peluang pasaran baharu untuk perniagaan Malaysia.

 

“Kemboja kini mengalami kekurangan dalam beberapa barangan pengguna, produk makanan dan bahan mentah industri, dan Malaysia mempunyai kelebihan jelas dari segi kualiti, harga dan kestabilan bekalan,” kata MCBA dalam kenyataan hari ini.

 

 

The Malaysia-Cambodia Business Association (MCBA)

 

 

Menurut MCBA, dalam situasi sebegini, sebahagian pelabur Thailand mungkin memilih untuk berundur dari pasaran Kemboja, sekali gus membuka ruang kemasukan kepada syarikat Malaysia.

 

Presiden MCBA, Datuk Seri Ricky Yaw berkata, meskipun berlaku konflik, asas pasaran Kemboja kekal kukuh dengan potensi pertumbuhan yang memberangsangkan.

 

“Syarikat-syarikat Malaysia, dengan rantaian bekalan yang fleksibel, liputan industri yang luas dan kemampuan bertindak pantas, berada pada kedudukan terbaik untuk merebut peluang ini dan memperoleh kelebihan daya saing di pasaran serantau,” katanya.

 

Beliau menggesa syarikat dan usahawan Malaysia segera menilai pasaran Kemboja dan mengambil langkah proaktif dengan menawarkan bekalan alternatif serta mengisi kekosongan pasaran. - DagangNews.com