KUALA LUMPUR 17 April – Vale memperkukuh kehadirannya di Malaysia menerusi pelantikan Edwin Gerard sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd, menjadikannya rakyat tempatan pertama menerajui operasi syarikat itu di negara ini.
Edwin yang mempunyai lebih 25 tahun pengalaman antarabangsa dalam operasi pelabuhan berskala besar, logistik dan pengurusan infrastruktur, pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan di beberapa negara termasuk Oman, Nigeria, Mesir dan Turki, selain berkhidmat di Malaysia sebagai Ketua Pegawai Operasi Johor Port Berhad sebelum ini.
Pelantikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Vale dalam membangunkan serta memperkasa ekosistem bakat tempatan di negara-negara operasinya, sejajar dengan strategi jangka panjang syarikat itu di rantau Asia Pasifik.
Di Malaysia, operasi Vale disokong oleh tenaga kerja yang terdiri daripada lebih 95% rakyat tempatan, merangkumi hab utama di Terminal Maritim Teluk Rubiah di Perak serta pejabat korporat Asia Pasifiknya di Kuala Lumpur.
Terminal tersebut, dengan nilai pelaburan sekitar AS$1.4 bilion, kekal sebagai pelaburan langsung asing (FDI) tunggal terbesar di Perak, menegaskan kepentingan strategik Malaysia dalam rangkaian global Vale.
Edwin akan mengetuai operasi salah satu hab paling strategik Vale di Asia yang menguruskan pengedaran kira-kira 20 juta tan bijih besi setiap tahun, menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran utama bagi rantau Asia Pasifik, di samping memperkukuh fokus terhadap operasi yang selamat, boleh dipercayai dan mampan.
Menurut beliau, Malaysia terus memainkan peranan penting dalam operasi Vale di Asia Pasifik dan syarikat itu kekal komited untuk memperkukuh kehadiran serta sumbangan jangka panjangnya di negara ini.
“Dalam peranan ini, saya berhasrat untuk meneruskan asas kukuh yang telah dibina melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan, meningkatkan kolaborasi merentas ekosistem serta memastikan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan mampan secara konsisten,” katanya.
Edwin mengambil alih jawatan tersebut daripada Leonardo Paiva yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran mampan Vale di Malaysia melalui pelbagai inisiatif pelaburan sosial berteraskan komuniti, termasuk pembangunan kawasan warisan di Manjung dan Beruas serta penubuhan Program Biasiswa Teluk Rubiah.
Sejak memulakan operasi di Teluk Rubiah pada 2014, Vale telah melaburkan kira-kira RM80 juta dalam pelbagai inisiatif sosial meliputi pendidikan, pemerkasaan wanita dan pemuliharaan alam sekitar, selain komited mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Selain itu, ia juga melabur lebih AS$1.7 bilion dalam inisiatif penyahkarbonan sejak 2020, disokong oleh rangkaian logistik globalnya yang merangkumi kira-kira 2,000 kilometer landasan kereta api dan 10 pelabuhan di seluruh dunia. - DagangNews.com








