KUALA LUMPUR 4 Nov - Sebanyak 30 daripada 48 amalan terbaik merekodkan tahap penggunaan melebihi 90%, menonjolkan komitmen sebilangan besar syarikat awam tersenarai (PLC) Malaysia terhadap tadbir urus korporat yang mantap.
Pendedahan itu dibuat menerusi laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) 2024, yang menilai penggunaan amalan terbaik Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), berdasarkan laporan Tadbir Urus Korporat yang dikeluarkan oleh PLC untuk tahun kewangan berakhir 2022 dan 2023.
Laporan 2024 itu bagaimanapun menggariskan tiga bidang kritikal yang memerlukan penambahbaikan selanjutnya iaitu pembaharuan komposisi lembaga pengarah, meningkatkan penyertaan pemegang saham melalui AGM secara fizikal/hibrid dan penyepaduan yang lebih mendalam bagi amalan tadbir urus kemampanan.
Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi menekankan kepentingan tadbir urus korporat dalam memacu pasaran yang berdaya tahan.
"Tadbir Urus Korporat mesti berkembang untuk menghadapi cabaran baharu dan memacu daya tahan untuk jangka masa panjang.
"Syarikat harus menyelaraskan tadbir urus mereka dengan keutamaan strategik seperti menyepadukan kemampanan, meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan dan memperbaharui kepimpinan untuk kekal berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan.
Laporan itu menunjukkan, hanya 18% daripada PLC menerima pakai had tempoh sembilan tahun untuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
Ini menekankan keperluan untuk PLC mengambil langkah yang lebih proaktif dalam memperbaharui komposisi lembaga.
Pengekalan pengarah yang telah lama berkhidmat iaitu sehingga 12 tahun melalui proses pengundian dua peringkat juga didapati kekal berleluasa.
PLC digalakkan untuk memanfaatkan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), yang mana Pejabat Pendaftaran Pengarahnya kini menyenaraikan 1,007 individu yang bersedia untuk berkhidmat dalam lembaga.
Ini menawarkan PLC sekumpulan calon yang layak dan mempunyai perspektif baharu, memastikan lembaga pengarah kekal dinamik dan mampu menangani cabaran tadbir urus yang berkembang.
CG Monitor 2024 juga mendapati, lebih 50% daripada PLC terus mengadakan AGM secara maya atau hibrid pada tahun ini.
Bagaimanapun, seperti yang diumumkan oleh SC pada Ogos 2024, semua PLC mesti mengadakan mesyuarat agung secara fizikal atau hibrid mulai 1 Mac 2025.
Peralihan itu dijangka meningkatkan penglibatan pemegang saham, membolehkan penyertaan dan interaksi yang lebih bermakna di AGM.
Laporan berkenaan turut menyaksikan tadbir urus kemampanan yang mengalami peningkatan ketara, dengan lebih daripada 96% daripada PLC kini menerima pakai amalan yang menumpukan kepada pengawasan lembaga dan pengurusan terhadap isu kemampanan.
Ia termasuk komunikasi yang lebih jelas mengenai strategi dan sasaran kemampanan selain memastikan lembaga pengarah kekal dimaklumkan tentang perkembangan kemampanan yang berkaitan.
Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, seperti memasukkan kemampanan ke dalam penilaian prestasi lembaga pengarah dan pengurusan kanan serta melantik individu berdedikasi untuk mengurus usaha kemampanan secara strategik.
Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF)2 yang dilancarkan baru-baru ini akan mengukuhkan lagi amalan tersebut, manakala inisiatif PACE akan menyediakan sumber seperti panduan dasar dan program pembinaan kapasiti untuk membantu PLC memenuhi keperluan pelaporan kemampanan dengan berkesan. - DagangNews.com








