KUALA LUMPUR 26 Sept - Supreme Consolidated Resources Bhd yang tersenarai dalam Pasaran LEAP telah memeterai perjanjian taja jamin dengan Kenanga Investment Bank Bhd untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku keempat 2024 (4Q2024).
Tawaran permulaan (IPO) tersebut akan melibatkan terbitan awam sebanyak 70 juta saham baharu SCRB di mana Kenanga akan menaja jamin 16.25 juta saham.
Pemain industri barangan pengguna cepat laris (FMCG) yang berpangkalan di Sarawak itu berkata, IPO tersebut melibatkan 8.6 juta saham mewakili bahagian yang disediakan kepada orang ramai Malaysia.
"Melalui pengundian, 7.6 juta saham akan diperuntukkan kepada pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, pekerja serta rakan perniagaan SCRB dan anak syarikatnya.
"Baki 53.75 saham itu akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut SCRB, hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk membiayai sebahagian pembesaran kemudahan gudang yang akan berfungsi sebagai pusat pengedaran tambahan bagi menampung pengembangan produknya.
Baki hasil itu akan digunakan untuk modal kerja dan membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas SCRB, Datuk Richard Wee Liang Chiat berkata, peralihan syarikat daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE sejajar dengan trajektori pertumbuhan syarikat.
"Kami jangka peralihan ini akan meningkatkan kecairan syarikat melalui pangkalan pelabur yang lebih luas, meningkatkan keterlihatan kami dan menarik rakan kongsi baharu.
"Selain itu, kami percaya ia juga akan memberikan kami platform yang lebih besar untuk mengumpul dana, memberikan kami akses kepada modal tambahan yang akan memudahkan rancangan pengembangan kami dan menyokong pelaburan dalam projek strategik.”
Pengarah Eksekutif, Ketua Perbankan Pelaburan Kumpulan dan Perbankan Islam Kenanga Investment Bank Bhd, Datuk Roslan Tik pula turut sokong peralihan SCRB ke Pasaran ACE kerana ia akan meningkatkan kehadiran pasarannya dan mencapai cita-cita pertumbuhannya.
Kenanga ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan agen penempatan.- DagangNews.com








