Supermax catat kerugian bersih RM41.14 juta pada suku ketiga FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Supermax catat kerugian bersih RM41.14 juta pada suku ketiga FY2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Mei - Supermax Corporation Bhd mencatatkan kerugian bersih lebih tinggi sebanyak RM41.14 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 (3QFY2026) berbanding RM23.81 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar sarung tangan itu berkata prestasi tersebut dipengaruhi oleh penurunan harga jualan purata (ASP) sarung tangan, kerugian pertukaran asing serta pendapatan faedah yang lebih rendah.

 

Pendapatan suku tahunan turut merosot 37.8% kepada RM126.76 juta daripada RM203.67 juta sebelumnya.

 

Ini merupakan suku ke-15 berturut-turut Supermax merekodkan kerugian sejak suku kedua tahun kewangan 2023.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026, kerugian bersih kumpulan melebar kepada RM234.19 juta berbanding RM93.36 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Hasil bagi tempoh tersebut susut 17.1% kepada RM519.76 juta daripada RM627.11 juta.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku dalam tinjauan, dengan pembayaran dividen terakhir dibuat pada tahun kewangan 2023.

 

Supermax bagaimanapun optimis terhadap prospek pertumbuhannya disokong oleh operasi kilang baharunya di Amerika Syarikat yang dijangka bermula pada separuh kedua 2026.

 

Menurut kumpulan itu, fasiliti berkenaan akan membolehkannya memenuhi tempahan berskala besar daripada pelanggan domestik di negara tersebut.

 

Pada masa sama, syarikat itu berkata keputusan Brazil menarik balik duti anti-lambakan ke atas sarung tangan Malaysia pada Disember 2025 dijangka memberi kelebihan kompetitif kepada pengeluar tempatan berbanding pesaing dari China dan Thailand.

 

Supermax kembali memasuki pasaran Brazil mulai April tahun ini.

 

Sementara itu, Supermax Brazil yang merupakan syarikat sekutu milik 50%, merancang membangunkan kilang pembuatan tempatan baharu melibatkan pelaburan sehingga AS$50 juta (RM198.9 juta).

 

Projek tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa menggunakan dana dalaman yang dijana di rantau berkenaan.

 

Di Kanada pula, Supermax menjangkakan penjimatan kos sewaan susulan penyatuan dua fasiliti di Montreal selain pembukaan ibu pejabat baharu di Toronto pada September ini bagi memburu kontrak kerajaan.

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan itu turut memperkukuh kedudukannya di pasaran UK, Ireland dan Kesatuan Eropah menerusi pembinaan hab pengedaran baharu di Peterborough.

 

“Supermax akan terus memberi fokus kepada peningkatan jualan kumpulan melalui pertumbuhan jualan pembuatan dari kilang AS, rasionalisasi kos operasi di Malaysia serta pengembangan jualan pengedaran di pasaran antarabangsa,” katanya.

 

Menurut syarikat itu, permintaan sektor penjagaan kesihatan yang kekal kukuh serta pemulihan keadaan pasaran luar negara dijangka menyokong usaha pemulihan prestasi kumpulan dalam jangka panjang. - DagangNews.com