KUALA LUMPUR 28 Okt – Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) merancang pelupusan Sunway Hotel Seberang Jaya di Pulau Pinang kepada Sunway Medical Centre Penang Sdn Bhd, anak syarikat Sunway Healthcare Holdings Berhad, dengan harga tunai sebanyak RM60 juta.
Transaksi ini termasuk penjualan tanah seluas 4,294 meter persegi dengan pajakan 99 tahun, bangunan hotel serta semua peralatan dan aset hotel yang dimiliki Sunway REIT.
Harga jualan ini melebihi nilai pasaran hotel yang dianggarkan RM55 juta pada Julai 2025, memberikan Sunway REIT keuntungan kasar sebanyak RM4 juta.
Sunway REIT berkata, bangunan itu dibeli pada tahun 2010 dengan kos RM51.9 juta dan telah melalui pelaburan tambahan sehingga jumlah kos keseluruhan mencecah RM67.3 juta.
“Penjualan hotel ini adalah sebahagian daripada strategi pengurusan modal dan mengoptimumkan portfolio hartanah bagi meningkatkan nilai jangka panjang.
“Hasil jualan berjumlah RM60 juta itu akan digunakan hampir sepenuhnya untuk membiayai pembangunan hotel baharu di atas Sunway Carnival Mall, yang dijangka siap pada suku keempat 2027.
“Hotel baharu ini akan menyediakan pelbagai kemudahan yang lebih moden, termasuk ballroom lebih besar, kolam renang dan akses terus ke pusat membeli-belah, bagi meningkatkan pengalaman pengunjung dan menarik lebih ramai pelancong ke kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sunway REIT menegaskan penjualan itu tidak akan menjejaskan modal pemegang unit atau pemegang unit utama dan dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan per unit berdasarkan keuntungan jualan.
Walaupun hilang pendapatan sewa hotel lama, keuntungan daripada penjualan pada harga premium melegakan keperluan pembiayaan projek baharu tanpa menambah hutang.
Transaksi ini dikategorikan sebagai transaksi berkaitan pihak berkepentingan kerana pembeli adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat Sunway.
Lembaga pengarah dan jawatankuasa audit Sunway REIT menilai jualan ini sebagai wajar, adil dan tidak merugikan pelabur bukan berkepentingan.
Penjualan dijangka selesai pada suku keempat 2027, setelah semua kelulusan pihak berkuasa diperoleh dan syarat perjanjian jual beli dipenuhi sepenuhnya. - DagangNews.com








