KUALA LUMPUR 23 Jun — Sunway Berhad akan memajukan projek pembangunan strategik di Singapura selepas membeli tanah bagi projek kediaman premium bernilai S$750.57 juta (kira-kira RM2.4 bilion).
Ia susulan Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar Singapura (URA) menganugerahkan tanah seluas 11,516 meter persegi kepada SMCL Haven 3 Pte Ltd (SMCLH3) dan CSC Land Group (Singapore) Pte Ltd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu menambah, pemerolehan tanah pajakan selama 99 tahun tersebut berikutan kejayaan proses bidaan secara bersama yang dikemukakan kedua-dua pihak.
"Tanah di River Valley Green itu akan dibangunkan menerusi syarikat usaha sama (JV) yang bakal dibentuk dengan SMCLH3 memegang ekuiti sebanyak 60% manakala baki 40% dimiliki CSC," kata Sunway.
Jelas kumpulan berkenaan, SMCLH3 merupakan sebuah anak syarikat tidak langsung milik penuhnya sendiri, manakala CSC ialah syarikat pembangunan hartanah yang sedia berpangkalan di Singapura.
Projek pembangunan kediaman premium berkenaan ujar kumpulan tersebut, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan yang bermula pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2029 (FY29) kelak.
Menurut Sunway, projek itu tertakluk kepada risiko biasa industri pembangunan hartanah dan pembinaan termasuk turun naik harga bahan mentah, perubahan kadar faedah serta kitaran pasaran hartanah.
"Bagaimanapun, risiko-risiko tersebut dijangka dapat dikurangkan menerusi pengalaman dan rekod prestasi kukuh Sunway Group serta CSC dalam sektor pembangunan hartanah," kata kumpulan itu.
Ia turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam projek itu. - DagangNews.com








