Sunway menjenamakan semula operasi di Singapura sebagai Sunway MCL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway menjenamakan semula operasi di Singapura sebagai Sunway MCL

Ilustrasi projek kondominium ELTA di Singapura
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov – Sunway Property menjenamakan semula operasi hartanahnya di Singapura sebagai Sunway MCL, susulan pengambilalihan MCL Land oleh Sunway Group bernilai S$738.7 juta (RM2.42 bilion).

 

Langkah strategik itu menggabungkan kepakaran lebih lima dekad Sunway dalam pembangunan komuniti mampan di Malaysia dengan warisan enam dekad MCL Land dalam pasaran kediaman Singapura.

 

Entiti baharu itu kini mengendalikan sembilan projek kediaman yang sedang dibangunkan di Singapura, merangkumi 4,937 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) S$4.5 bilion (RM14.9 bilion).

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Datin Paduka Sarena Cheah berkata, penubuhan Sunway MCL menandakan satu pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan kumpulan.

 

“Singapura sentiasa menjadi pasaran utama bagi kami. Melalui Sunway MCL, kami memperkukuhkan komitmen jangka panjang untuk membina komuniti lestari yang memberi nilai berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Projek-projek utama di bawah nama Sunway MCL termasuk ELTA, Nava Grove, Tembusu Grand dan The Continuum. 

 

Nava Grove, contohnya, terkenal dengan reka bentuk yang mengutamakan alam semula jadi serta kemudahan berinspirasikan kesejahteraan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway MCL, Lee Tong Voon berkata, pihaknya akan memfokuskan terhadap pembangunan rumah yang elegan dan selesa selaras dengan reputasi premium Sunway dan MCL Land.

 

Selain projek di Singapura, pengambilalihan MCL Land turut merangkumi aset Malaysia, termasuk tanah pembangunan di Wangsa Maju, township Forest Heights di Seremban, dan Wangsa Walk Mall seluas 330,000 kaki persegi.

 

Langkah itu memperkukuhkan kedudukan Sunway Property sebagai pemaju komuniti utama dan mengembangkan jejak serantau kumpulan.

 

Sunway juga mengekalkan kehadiran rentas sempadan melalui pembangunan utama di Johor, termasuk Sunway City Iskandar Puteri. Projek Bukit Chagar RTS di First Link turut menambah portfolio pembangunan strategik Sunway di rantau ini. - DagangNews.com