KUALA LUMPUR 31 Okt – Sunway Medical Centre Ipoh bernilai RM430 juta adalah hospital pertama di Perak yang menawarkan teknologi imbasan PET-CT dan pembedahan robotik, menyediakan rawatan perubatan yang moden dan canggih di negeri itu.
Perasmian hospital milik Sunway Healthcare Group itu disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim baru-baru ini.
Ia menyediakan perkhidmatan diagnostik kanser dan rawatan berteknologi tinggi, termasuk pembedahan penggantian lutut menggunakan robot.
Sunway Medical Centre Ipoh dilengkapi 165 katil, 63 suite konsultasi, lapan bilik pembedahan dan 24 unit rawatan rapi, termasuk lapan unit untuk pediatrik dan neonatal, serta menawarkan 37 kepakaran dan subkepakaran perubatan.
Hospital itu turut menempatkan Pusat Kanser dan Perubatan Nuklear serta enam kepakaran iaitu kardiologi, ortopedik, neurosains, onkologi klinikal, kesihatan wanita dan kanak-kanak serta kesihatan sistem penghadaman.
Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, hospital berkenaan mendapat sokongan penuh daripada rangkaian kemudahan penjagaan kesihatan kumpulan itu yang merangkumi hospital kuarter, tertiari, pusat pesakit harian dan perkhidmatan pemulihan susulan.
“Pesakit turut boleh mendapatkan akses kepada pakar dan teknologi dalam bidang subkepakaran khusus sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Medical Centre Ipoh, Choy Wah Wei berkata, hospital tersebut akan meningkatkan akses kepada rawatan pakar di Perak dan mengurangkan keperluan pesakit ke Pulau Pinang atau Selangor untuk mendapatkan rawatan lanjutan.
“Walaupun hanya memulakan operasi pada April 2025, hospital ini telah merintis beberapa prosedur pembedahan robotik canggih antaranya untuk rawatan strok dan ultrabunyi endoskopik.
“Hospital ini juga akan menyokong sektor pelancongan kesihatan melalui penyediaan suite kediaman warga emas yang terletak bertentangan hospital sekali gus membentuk ekosistem gaya hidup berorientasikan kesihatan,” katanya.
Sunway Medical Centre Ipoh merupakan hospital tertiari kelima di bawah Sunway Healthcare Group, yang ketika ini mengendalikan 11 pusat perubatan termasuk lima hospital, lima pusat rawatan pesakit harian dan penjagaan, serta kediaman warga emas Sunway Sanctuary.
Kumpulan itu merancang membuka hospital baharu di Johor, Putrajaya, Seremban, Pulau Pinang dan Kelantan, dengan sasaran kapasiti keseluruhan kira-kira 3,400 katil menjelang 2032.
Hospital ini terletak di dalam kawasan pembangunan bersepadu Sunway City Ipoh seluas 1,350 ekar, sebagai sebahagian pelan pembangunan Koridor Pembangunan Timur.
Pembangunan Sunway City Ipoh akan menyaksikan pelaburan tambahan RM4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, termasuk pembinaan pusat beli-belah terbesar di Perak menjelang 2027, hab pendidikan serantau, hotel dan pusat konvensyen. - DagangNews.com








