KUALA LUMPUR 7 April - Sunway Bhd menghormati keputusan para pemegang saham IJM Corp Bhd yang sebahagian besarnya menolak tawaran pengambilalihan bersyarat daripada kumpulan itu serta keseluruhan proses yang telah berlangsung, sambil menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan strategi perniagaan dan mencipta nilai jangka panjang.
Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu mengakui perbezaan pandangan adalah lumrah dalam urus niaga berskala besar, selain menghargai perbincangan awam yang menyelubungi tawaran pengambilalihan bersyarat itu.
“Dalam mana-mana transaksi sebesar ini, perbezaan perspektif adalah perkara semula jadi. Kami menghargai perbincangan terbuka yang berlaku sepanjang proses ini,” katanya.
Sunway turut menyatakan keyakinan pihak-pihak berkaitan akan memudahkan pemulangan saham yang telah didepositkan di bawah tawaran itu dengan segera, selaras dengan prosedur yang ditetapkan.
Artikel Berkaitan: Sunway gagal ambil alih IJM, hanya terima sokongan 33.43% pemegang saham
Mengulas lanjut, kumpulan itu menegaskan tumpuan kini terarah kepada pelaksanaan strategi teras dan pengukuhan perniagaan bersepadu yang menjadi asas kepada prestasi syarikat selama ini.
“Sunway kekal komited untuk membina kekuatan sedia ada, meneroka peluang secara berdisiplin serta memastikan penciptaan nilai jangka panjang kepada semua pemegang kepentingan, termasuk komuniti dan negara,” jelasnya.
Menurutnya, sejak awal lagi cadangan yang dikemukakan adalah berlandaskan prinsip jelas untuk mewujudkan nilai strategik dan mampan melalui pembentukan entiti lebih besar dan berdaya tahan.
Cadangan tersebut, katanya, dirangka bagi membolehkan pemegang saham mengambil bahagian dalam pertumbuhan masa depan sebuah “entiti nasional” yang disokong oleh asas kukuh serta rekod prestasi yang terbukti.
Dalam pada itu, Sunway merakamkan penghargaan kepada kira-kira 33% pemegang saham IJM yang menerima tawaran tersebut, selain berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara konstruktif sepanjang proses berkenaan.
“Kami amat menghargai keyakinan dan sokongan yang diberikan terhadap visi dan cadangan kami,” katanya.
Sunway turut menyifatkan tahap minat serta perbincangan yang tercetus sebagai mencerminkan kepentingan transaksi berkenaan serta kekuatan pasaran modal Malaysia.
Pada masa sama, kumpulan itu memaklumkan bahawa sokongan padu turut diterima daripada pemegang sahamnya sendiri, apabila 99.27% mengundi menyokong cadangan tersebut dalam mesyuarat agung luar biasa.
“Keputusan itu mencerminkan keyakinan kukuh terhadap rasional strategik dan komersial tawaran yang dikemukakan,” tambahnya.
Pada 12 Januari lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat pada harga RM3.15 sesaham, melibatkan gabungan 10% tunai dan selebihnya dalam bentuk saham baharu yang diterbitkan pada harga RM5.65 sesaham.
Bagaimanapun sehingga jam 5 petang, 6 April 2026 iaitu tarikh penutupan tawaran, Sunway hanya berjaya memperoleh penerimaan sokongan sebanyak 33.43%, jauh daripada paras minimum yang ditetapkan, sekaligus menggagalkan tawaran pengambilalihan itu. - DagangNews.com








