KUALA LUMPUR 23 Jan – Sunway Berhad memaklumkan anak syarikatnya, Sunway Healthcare Holdings Berhad (SHH) telah menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran Utama dengan peratus pegangan saham awam sebanyak 18%.
Kelulusan tersebut diterima melalui surat Bursa Securities bertarikh 22 Januari 2026, selaras dengan Perenggan 8.02(1) Peraturan Pencatatan Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Peraturan Bursa Malaysia menetapkan sekurang-kurangnya 25% daripada saham syarikat yang disenaraikan mesti dimiliki oleh orang awam bagi memastikan pasaran kekal cecair.
SHH diberi pengecualian dan dibenarkan disenaraikan dengan pegangan awam sebanyak 18%. Bagaimanapun, SHH dinasihatkan untuk berusaha meningkatkan pegangan saham awam tersebut kepada 25%.
SHH, yang dijangka menjadi antara IPO terbesar tahun ini, telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 5 Disember untuk cadangan penyenaraian yang disasarkan pada suku pertama 2026.
SHH dimiliki sebanyak 84% oleh Sunway City Sdn Bhd (SunCity), yang merupakan anak syarikat milik penuh langsung Sunway, manakala baki 16% pegangan dimiliki oleh Greenwood Capital Private Limited.
Selaras dengan penyenaraian yang dicadangkan, SHH memaklumkan, pihaknya bercadang melaksanakan pecahan saham iaitu satu saham kumpulan akan dipecahkan, menjadikan jumlah sahamnya meningkat kepada 10.93 bilion unit.
Selepas pecahan saham tersebut, SunCity akan mengagihkan saham-saham tersebut kepada Sunway dan pemegang saham yang layak melalui dividen dalam bentuk sekuriti (dividen-in-specie) berdasarkan satu saham SHH bagi setiap 10 saham Sunway yang dimiliki.
Selari dengan pengagihan yang dicadangkan itu, SHH turut mencadangkan tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan 1.97 bilion saham kumpulan atau 17.2% daripada keseluruhan syarikat penjagaan kesihatan tersebut, yang terdiri daripada penjualan sehingga 1.4 bilion saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 575.01 juta saham baharu.
Bahagian runcit bagi IPO itu akan melibatkan 230 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam di Malaysia, dengan 115 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera.
Sebanyak 115 juta saham juga akan diperuntukkan kepada kakitangan, pengarah dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan melalui peruntukan borang merah jambu.
Sementara itu, tawaran institusi akan melibatkan 1.63 bilion saham, dengan 747.51 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 881.1 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih.
Hasil daripada IPO akan digunakan bagi tujuan pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja dan menampung yuran serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan penyenaraian.
Penyenaraian SHH dijangka memperkukuh kedudukan Sunway dalam sektor penjagaan kesihatan tempatan dan menawarkan peluang pelaburan kepada orang ramai untuk menyertai pertumbuhan syarikat. - DagangNews.com








