KUALA LUMPUR 27 Feb - Sunway Healthcare Holdings Bhd (SHH), cabang penjagaan kesihatan Sunway Berhad, menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM2.86 bilion menerusi penyenaraian terbesar di negara ini dalam tempoh sembilan tahun.
Syarikat itu yang melancarkan prospektusnya pagi ini telah mula menerima tempahan daripada pelabur runcit dan institusi bagi tawaran awam permulaan (IPO) pada harga RM1.45 sesaham. Permohonan bagi tranche runcit ditutup pada 5 Mac manakala tawaran institusi berakhir 6 Mac. SHH dijadualkan disenaraikan pada 18 Mac ini.
Sekiranya berjaya, IPO itu merupakan kutipan terbesar di Bursa Malaysia sejak Julai 2017 apabila Lotte Chemical Titan Holding Bhd meraih RM3.77 bilion.
SHH merupakan antara kumpulan hospital swasta terbesar di Malaysia dengan jumlah 1,805 katil berlesen dan kapasiti 1,982 katil, diterajui hospital utamanya, Sunway Medical Centre di Sunway City Kuala Lumpur yang mempunyai 848 katil.
Pada harga RM1.45 sesaham dan berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.97 bilion saham, SHH dijangka mempunyai permodalan pasaran RM16.7 bilion. Ini mewakili nisbah harga kepada pendapatan (PER) 64.8 kali serta nisbah nilai perusahaan kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EV/Ebitda) 36.1 kali, berdasarkan keuntungan bersih RM257.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Penilaian itu selari dengan laporan terdahulu yang menyatakan Sunway menyasarkan penilaian sekitar RM16 bilion bagi IPO cabang penjagaan kesihatannya pada harga RM1.45 sesaham.
Sebagai perbandingan, IHH Healthcare Bhd didagangkan pada PER sekitar 30 kali dengan EV/Ebitda 17.7 kali, manakala KPJ Healthcare Bhd pada PER 37.4 kali dan EV/Ebitda 15.4 kali.
Disokong 20 Pelabur Asas
IPO SHH disokong oleh 20 pelabur asas (cornerstone), termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji, JPMorgan Asset Management dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd.
Lazimnya, pelabur asas bersetuju membeli sebahagian besar saham IPO lebih awal, sekali gus meningkatkan daya tarikan tawaran tersebut kepada pelabur lain.
IPO SHH membabitkan sehingga 1.97 bilion saham, terdiri daripada tawaran penjualan sehingga 1.39 bilion saham sedia ada dan terbitan awam 575 juta saham baharu kepada pelabur runcit dan institusi.
Tranche institusi merangkumi 1.62 bilion saham manakala 345 juta saham diperuntukkan kepada pelabur runcit.
Secara keseluruhan, pelabur asas bersetuju mengambil 854.95 juta saham, mewakili kira-kira 43.4 peratus daripada jumlah saham IPO atau sekitar 7.4 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan.
Kecuali KWSP yang bersetuju melanggan, membeli dan/atau memperoleh 448.5 juta saham IPO di bawah perjanjian penempatan pelabur asasnya, tiada pelabur asas lain yang akan memiliki lebih lima peratus saham IPO kumpulan itu secara individu.
Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Jeffery Cheah berkata, penambahan SHH dijangka meningkatkan permodalan pasaran kumpulan itu kepada lebih RM70 bilion.
Beliau berkata, ketika ini gabungan permodalan pasaran tiga entiti tersenarai awam kumpulan itu iaitu Sunway Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Sunway Real Estate Investment Trust melebihi RM58 bilion.
“(Pertumbuhan) ini bergantung kepada keadaan pasaran semasa ketika SHH disenaraikan, namun sokongan kukuh daripada pelabur institusi antarabangsa dan domestik, yang kebanyakannya menyertai sebagai pelabur asas (cornerstone), mencerminkan kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama Sunway.
“Saya yakin SHH akan muncul sebagai antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu terkemuka di rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran prospektus IPO SHH di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Kumpulan SHH Datuk Lau Beng Long berkata, kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada pengembangan brownfield dari 2026 hingga 2028 dengan meningkatkan kapasiti katil serta mengoptimumkan penggunaan lima hospital sedia ada.
“Kami mempunyai tiga hospital baharu dalam perancangan iaitu sebuah hospital tertiari di Seremban, Negeri Sembilan, satu di Iskandar Puteri, Johor dan satu di Putrajaya menerusi usaha sama dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd.
“Kedua-dua pengembangan brownfield dan greenfield ini dijangka hampir menggandakan kapasiti kami menjelang 2032, sekali gus menyediakan saluran pertumbuhan yang kukuh dan jelas untuk tempoh lima hingga enam tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, SHH juga akan terus mempertingkat kecemerlangan klinikal di hospital sedia ada dengan memperluas subkepakaran dan perkhidmatan rawatan.
“Kami akan terus memperluas pejabat jualan dan rujukan pesakit, rangkaian ejen serta kerjasama strategik di pasaran luar negara,” tambahnya.
IPO itu membabitkan sehingga 1.969 bilion saham, termasuk 1.39 bilion saham sedia ada dan 575 juta saham baharu.
Ia merangkumi tawaran institusi sehingga 1.62 bilion saham, mewakili kira-kira 14.1 peratus daripada modal saham terbitan dan berbayar yang diperbesarkan syarikat, serta tawaran runcit sebanyak 345 juta saham atau kira-kira 3.0 peratus.
Permohonan bagi tawaran runcit IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada jam 5 petang, 5 Mac 2026.
Maybank Investment Bank dan AmInvestment Bank bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, pengurus buku bersama, penaja jamin pengurusan bersama dan penaja jamin bersama bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








