KUALA LUMPUR 24 Feb – Sunway Construction Group Berhad (SunCon) dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh sekiranya syarikat berjaya menukar tender aktif berjumlah RM17.5 bilion kepada kontrak sebenar, dengan projek pusat data kekal menjadi pemacu utama pendapatan kumpulan, menurut penganalisis.
Daripada jumlah tender tersebut, sekitar 80% terdiri daripada projek pusat data, termasuk projek baharu dan pengembangan untuk pelanggan multinasional, mencerminkan permintaan berterusan terhadap kemudahan digital berskala besar, khususnya di Johor.
Penganalisis berkata nilai tender aktif yang tinggi itu dilihat sebagai pemacu utama kesinambungan pertumbuhan kumpulan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
CGS International (CGSI) mengekalkan saranan ‘Tambah’ terhadap SunCon dengan menaikkan harga sasaran kepada RM7.90 berbanding RM7.30 sebelum ini, susulan semakan menaik unjuran pendapatan bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 16% dan 21%.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (4QFY25) mengatasi jangkaan apabila keuntungan bersih teras melonjak 112% tahun ke tahun kepada RM154 juta, menjadikan keuntungan bersih FY25 meningkat 128% kepada RM425 juta.
“Lonjakan itu dipacu peningkatan 45% keuntungan sebelum cukai segmen pembinaan kepada RM155 juta dengan margin bertambah baik kepada 16.5% berbanding 7.9% setahun lalu, susulan penyerahan projek pusat data yang diperbesarkan di Sedenak serta penjimatan kos hasil kemajuan kerja yang lebih cepat,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Setakat Disember 2025, tempahan tertunggak kumpulan berjumlah RM5.7 bilion dengan 41% daripadanya terdiri daripada projek pusat data, manakala kedudukan tunai bersih sebanyak RM1.7 bilion mengukuhkan lagi profil kewangan syarikat.
Bagaimanapun, CGSI menegaskan bahawa kesinambungan pertumbuhan FY26 bergantung kepada keupayaan SunCon menukar buku tempahan projek pusat data berskala besar kepada kontrak sebenar, termasuk potensi pembesaran projek DC JHB1XO Building 2 serta tambahan kerja daripada pelanggan multinasional sedia ada yang dianggarkan bernilai antara RM4 bilion hingga RM5 bilion.
Sementara itu, MBSB Research turut mengekalkan saranan Beli terhadap SunCon dengan menaikkan harga sasaran kepada RM7.18 berbanding RM6.53 sebelum ini, bersandarkan asas kewangan yang kukuh dan prospek sektor pembinaan yang memberangsangkan.
Menurut firma penyelidikan tersebut, SunCon merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM119.2 juta pada 4QFY25, meningkat 84.6% tahun ke tahun, manakala bagi FY25 keuntungan bersih teras mencecah RM384.8 juta, hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya dan melepasi jangkaan pasaran.
“Walaupun hasil segmen pembinaan susut 30.5% kepada RM940.8 juta dalam suku berkenaan berikutan kemajuan dipercepatkan projek RTS Link dan beberapa projek pusat data pada tahun sebelumnya, keuntungan sebelum cukai meningkat 44.8% kepada RM155.3 juta susulan penambahbaikan margin.
“Bagi keseluruhan FY25, keuntungan sebelum cukai segmen pembinaan melonjak 96.5% kepada RM511.8 juta dengan margin meningkat kepada 10.0% berbanding 7.8% pada FY24, mencerminkan kecekapan pelaksanaan projek dan kawalan kos yang lebih baik,” kata firma itu.
MBSB Research turut menaikkan unjuran keuntungan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 31.6% dan 25.7%, selain memperkenalkan unjuran FY28, dengan harga sasaran RM7.18 ditentukan berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan 23 kali, iaitu satu sisihan piawai melebihi purata lima tahun kumpulan, didorong momentum kukuh projek pusat data dan kedudukan tunai bersih RM1.70 bilion yang menyokong pertumbuhan masa depan.
Dalam pada itu, RHB Research juga turut mengekalkan saranan Beli terhadap SunCon dengan menaikkan harga sasaran kepada RM7.96 daripada RM7.35, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 26% daripada harga semasa serta hasil dividen FY26F kira-kira 5%.
Firma itu berkata, keuntungan bersih teras FY25 sebanyak RM425 juta, meningkat 148% tahun ke tahun, melepasi jangkaan mereka dan pasaran, disokong kemajuan lebih pantas projek pusat data sedia ada.
Menurut RHB, lonjakan prestasi itu turut didorong peningkatan margin apabila keuntungan sebelum cukai segmen pembinaan melonjak 45% pada 4Q25 dengan margin kukuh 16.5% berbanding 7.9% setahun lalu.
Antara perkembangan utama ialah kemajuan projek PSR-MNC data centre yang telah mencapai 74% siap setakat akhir 4Q25 dan dijangka disiapkan menjelang 2Q27, selain sumbangan projek RTS Link yang menyokong penentukuran semula margin hasil penjimatan kos.
RHB Research turut menaikkan unjuran perolehan kontrak baharu FY26 kepada RM6 bilion selaras sasaran pengurusan, berbanding RM5.5 bilion sebelum ini, serta memperkenalkan unjuran FY28 dengan andaian kontrak baharu RM4.5 bilion.
“Harga sasaran RM7.96 ditentukan berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan 23.5 kali bagi FY26F termasuk premium ESG 4%, dengan penarafan semula berpotensi dipacu kemenangan projek pusat data baharu dan kemungkinan meraih pakej projek LRT Pulau Pinang,” katanya. - DagangNews.com








