Sunway Construction dijangka catat keuntungan RM70–RM80 juta pada 4QFY25, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Construction dijangka catat keuntungan RM70–RM80 juta pada 4QFY25, kata RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb – Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dijangka mencatat keputusan suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY25) yang kukuh, didorong terutamanya oleh kemajuan pesat projek pusat data, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham SunCon dengan harga sasaran baharu RM7.35 berbanding RM7.32 sebelum ini, membayangkan potensi kenaikan sekitar 19% daripada harga semasa RM6.20, selain unjuran hasil dividen kira-kira 5% bagi FY26F.

 

SunCon dijadual mengumumkan keputusan kewangan 4QFY25 pada 23 Februari ini.

 

RHB Research mengunjurkan keuntungan teras suku berkenaan berada dalam lingkungan RM70 juta hingga RM80 juta, bersamaan pertumbuhan tahun ke tahun antara 6.4% hingga 21.6%.

 

“Bagi keseluruhan FY25, keuntungan teras dianggarkan mencecah antara RM340 juta hingga RM350 juta, sekali gus mencatat paras tertinggi dalam sejarah syarikat. 

 

“Prestasi memberangsangkan itu dijangka dipacu oleh pengebilan kemajuan kerja, khususnya daripada projek pusat data (DC) di Johor,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Sehingga akhir September 2025, projek DC JHB1X0 bernilai RM4.1 bilion, termasuk kerja penambahbaikan penyewa, telah mencapai tahap kemajuan 96.7% dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 4QFY25. 

 

Projek itu menjadi penyumbang utama kepada aliran pendapatan semasa kumpulan.

 

Selain itu, projek PSR-MNC DC bernilai RM778 juta yang dianugerahkan pada Mac 2024 dan disasarkan siap pada suku pertama 2027, telah mencapai 54% kemajuan setakat akhir suku ketiga 2025. 

 

RHB Research berkata kadar pengiktirafan kerja meningkat ketara sepanjang tempoh 3QFY25, sekali gus membuka ruang kepada pengiktirafan lebih tinggi pada 4QFY25.

 

Bagi FY25, SunCon merekodkan perolehan kontrak baharu berjumlah RM5.2 bilion berbanding jangkaan awal RM6 bilion, dengan kira-kira separuh daripadanya terdiri daripada projek pusat data. Permintaan kukuh bagi infrastruktur digital di Johor terus menjadi pemacu utama pertumbuhan segmen ini.

 

Menurut laporan Asia Pasifik Data Centre 2H 2025 oleh Cushman & Wakefield, Johor mempunyai kapasiti pusat data dirancang sebanyak 2,099 megawatt yang berpotensi diterjemahkan kepada nilai pembinaan sekitar RM42 bilion, berdasarkan kos pembinaan kira-kira RM20 juta bagi setiap megawatt.

 

Antara pelancaran yang dinanti termasuk pembangunan Microsoft South-East Asia Region 3 yang diumumkan pada Oktober 2025, dipercayai berkait dengan pembelian kira-kira 370 ekar tanah di Johor oleh syarikat teknologi global itu antara 2023 hingga 2025. 

 

RHB Research berkata SunCon juga berpotensi meraih manfaat daripada peluasan projek DC sedia ada di Sedenak.

 

Firma tersebut menurunkan sedikit unjuran pendapatan FY25 sebanyak 2.9% bagi mencerminkan jumlah kontrak sebenar, namun meningkatkan unjuran FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 1% selepas menaikkan sasaran perolehan kontrak baharu FY26 kepada RM5.5 bilion.

 

Dari segi penilaian, saham SunCon kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sekitar 21 kali bagi FY26F, lebih rendah berbanding sasaran 23.5 kali yang digunakan dalam penentuan harga sasaran. 

 

RHB Research berkata ia berpandangan prospek pusat data dengan margin lebih baik dan tempoh pelaksanaan lebih pantas wajar menyokong penilaian lebih tinggi.

 

Selain kontrak pusat data baharu, potensi pemangkin penarafan semula termasuk peluang memperoleh pakej daripada projek Transit Aliran Ringan Pulau Pinang. 

 

Bagaimanapun, risiko utama kekal pada kelembapan perolehan projek baharu yang boleh menjejaskan momentum pertumbuhan Kumpulan, kata firma tersebut.- DagangNews.com