KUALA LUMPUR 30 Dis – Sunview Group Berhad bercadang untuk mengambil alih loji penjanaan kuasa solar berskala besar berkapasiti 50 MWac daripada PKNP Reneuco Suria Sdn. Bhd, yang merupakan anak syarikat 95% milik Reneuco Berhad.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunview berkata pengambilalihan ini akan dilakukan melalui anak syarikat milik penuhnya, SAM 2 Sdn. Bhd dengan nilai tunai RM70 juta.
“Loji solar tersebut terletak di atas dua lot tanah pajakan seluas 230.5 ekar di Pekan, Pahang dengan tempoh pajakan 99 tahun.
“Pada masa ini, pembinaan loji tersebut dianggarkan telah siap 79% dan Sunview akan menilai kerja tambahan yang diperlukan untuk menyiapkan projek ini sepenuhnya.
“Pengambilalihan ini dijangka dibiayai melalui gabungan dana dalaman, pinjaman bank, dan/atau pengumpulan dana masa depan,” katanya dalam makluman tersebut.
Sunview juga menjangkakan tambahan kos pembinaan antara RM50 juta hingga RM120 juta bagi menyiapkan loji tersebut, yang disasarkan untuk mula beroperasi pada suku keempat 2026.
Sunview menyatakan pengambilalihan ini selaras dengan strategi syarikat untuk memperluas portfolio tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan kapasiti pelaksanaan projek solar, termasuk projek di bawah program LSS4.
“Loji ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan, walaupun tidak memberi kesan material terhadap pendapatan atau EPS bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.
“Cadangan pengambilalihan masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Sunview dalam mesyuarat agung luar biasa dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Jika tiada sebarang halangan, proses pengambilalihan dijangka diselesaikan pada suku kedua 2026,” kata syarikat itu.
Susulan pengambilalihan tersebut, SAM 2 akan memeterai perjanjian pajakan dengan pemilik tanah, iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), bagi penyewaan tanah yang menempatkan loji solar berkenaan.
PKNP Reneuco, yang merupakan kerjasama antara PKNP dan Reneuco, telah memperoleh anugerah tender projek solar berskala besar ke-4 (LSS4) bagi pembinaan dan pengendalian kemudahan jana tenaga solar fotovolta berkapasiti 50MWac di Pekan, Pahang hasil proses pembidaan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tenaga.
PKNP Reneuco kemudiannya menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd.
Bagaimanapun, pada 8 Feb 2024, Reneuco mengumumkan bahawa ia telah dikategorikan sebagai syarikat dalam senarai PN17 yang menyebabkan PKNP Reneuco menghentikan kerja-kerja pembinaan loji solar tersebut dan seterusnya diletakkan di bawah pengurusan penerima dan pengurus (receivership) susulan kegagalan memenuhi obligasi pembayaran. - DagangNews.com








