Suntrack Development bangunkan taman industri bernilai RM318 juta di Bandar Baru Salak Tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suntrack Development bangunkan taman industri bernilai RM318 juta di Bandar Baru Salak Tinggi

Ilustrasi Suntrack Hub 2 apabila siap kelak
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan – Suntrack Development Sdn Bhd melancarkan projek baharunya, Suntrack Hub 2 iaitu sebuah pembangunan perindustrian baharu di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor. 

 

Projek tersebut mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM318 juta dan dijangka menarik minat pemilik perniagaan yang mencari premis lebih moden yang memenuhi keperluan operasi syarikat.

 

Suntrack Hub 2 dibangunkan di atas tanah seluas 26.34 ekar dan akan menempatkan 62 unit kilang separa berkembar dua tingkat.

 

Setiap unit ditawarkan pada harga bermula daripada RM4.1 juta, dengan saiz lot dari 11,044 kaki persegi dan luas binaan daripada 7,567 kaki persegi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Suntrack Development James Tan berkata projek ini direka hasil daripada perbincangan dengan pemilik perniagaan yang menekankan kepentingan kecekapan operasi dan pengembangan masa depan syarikat.

 

“Antara ciri istimewa Suntrack Hub 2 ialah siling setinggi sembilan meter, lantai tahan beban 30kN per meter persegi dan susun atur yang boleh diubah suai yang memberi fleksibiliti kepada perniagaan untuk menyesuaikan operasi mereka.

 

“Projek ini terletak di koridor perindustrian Bandar Baru Salak Tinggi dan hanya kira-kira 10 kilometer dari tol Bandar Serenia di Lebuhraya Elite, menjadikannya mudah diakses untuk logistik dan penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain daripada reka bentuk bangunan, Tan menekankan bahawa Suntrack Development memberi perhatian kepada keselamatan dan penyelenggaraan jangka panjang kawasan perindustrian.

 

“Kilang-kilang di Suntrack Hub 2 akan berada dalam kawasan berpagar dan dipantau oleh Persatuan Pemilik Kilang yang bertanggungjawab memastikan taman perindustrian kekal selamat dan terurus dengan baik.

 

“Tapak projek ini telah mula menjalani kerja-kerja tanah, manakala pembinaan bangunan dijadualkan bermula pada April 2026,” katanya.

 

Suntrack Hub 2 disasarkan untuk perniagaan dalam sektor industri ringan dan sederhana. Zon ini membolehkan pelbagai aktiviti, termasuk penyimpanan, pengedaran, dan pengeluaran.

 

Dengan susun atur dan spesifikasi yang fleksibel, projek ini membolehkan perniagaan menyesuaikan dan mengembangkan operasi mereka mengikut keperluan masa depan syarikat.

 

James Tan menegaskan bahawa fokus syarikat bukan sahaja pada bangunan, tetapi juga mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, tersusun dan menyokong kelangsungan aset jangka panjang.

 

Suntrack Hub 2 dijangka menjadi pilihan utama pemilik kilang dan perniagaan yang mencari kemudahan moden dan terurus dalam kawasan industri yang strategik di Selangor. - DagangNews.com