Sunsuria tambah saham dalam syarikat pemaju Kampung Sungai Baru kepada 61%, pacu projek RM2.75 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunsuria tambah saham dalam syarikat pemaju Kampung Sungai Baru kepada 61%, pacu projek RM2.75 bilion

Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur yang kini giat dibangunkan semula. - Gambar BERNAMA
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 11 Dis - Sunsuria Bhd meningkatkan pegangan dalam KL City Gateway Sdn Bhd (KLCG), pemaju projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, kepada 61% daripada 20%.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunsuria berkata ia telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh tambahan 41% pegangan bernilai RM21.46 juta daripada empat pemegang saham sedia ada KLCG, iaitu Suez Capital Sdn Bhd, Scenic Starhill Sdn Bhd, Yedor Holdings Sdn Bhd dan Yeoh Ah Tu.

 

Syarikat itu memperoleh pegangan awal sebanyak 20% dalam KLCG pada Disember 2024.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sunsuria turut memaklumkan syarikat itu telah menandatangani perjanjian pemegang saham baharu dengan Transworld Equity Sdn Bhd dan Suez Capital, yang secara kolektif memegang baki 39% dalam KLCG, bagi mengawal hak dan tanggungjawab semua pemegang saham selepas pengambilalihan tersebut.

 

Sebagai sebahagian daripada urus niaga ini, Sunsuria perlu menyediakan bantuan kewangan kepada KLCG, termasuk pendahuluan pemegang saham serta jaminan korporat sehingga RM387 juta.


 

Sunsuria

 


KLCG sedang membangunkan semula tanah seluas 3.91 hektar (9.66 ekar) di Kampung Sungai Baru, bersebelahan Kampung Baru. Fasa 1 projek itu yang meliputi 3.22 hektar (7.95 ekar) akan menjadi pembangunan bersepadu guna bercampur dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.75 bilion, merangkumi kediaman dan apartmen servis, suite pejabat, ruang runcit serta kemudahan awam sokongan.

 

Fasa 2 pula meliputi 1.71 ekar dan masih tertakluk kepada penilaian perancangan serta kelulusan kawal selia, kata Sunsuria.

 

Sunsuria menjangkakan peningkatan pegangan dalam KLCG akan menyumbang secara positif kepada pendapatan secara berperingkat sepanjang tempoh Fasa 1. Syarikat itu berkata prospek KLCG kekal positif dengan jangkaan sumbangan kepada pendapatan kumpulan dalam jangka sederhana hingga panjang.

 

Syarikat itu berkata, pendahuluan tambahan pemegang saham adalah untuk membiayai keperluan modal kerja bagi Fasa 1, manakala jaminan korporat akan menyokong kemudahan pembiayaan bank projek tersebut, yang masih belum diperoleh KLCG.


 

Tan Sri Ter Leong Yap
                                  Tan Sri Ter Leong Yap

 


Pengambilalihan ini dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan susulan kepentingan Pengerusi Eksekutif dan pemegang saham utama Sunsuria, Tan Sri Ter Leong Yap dan anaknya Ter Shin Nie, pengarah eksekutif bukan bebas.

 

 

 

 

 

 

 

Abangnya, Datuk Ter Leong Hing, merupakan pengarah dan pemegang saham utama Scenic Starhill, Suez Capital dan Transworld.

 

Saham Sunsuria ditutup tidak berubah pada 44.5 sen pada Rabu, memberikan syarikat itu modal pasaran RM398.7 juta. Setakat tahun ini, saham tersebut telah susut lebih 8%. - DagangNews.com